fbpx
TANGKAP layar video yang dikesan pihak polis berhubung tindakan seorang pemandu bas memandu secara berbahaya dan mencetuskan provokasi.

Lagi kes pemandu bas: Tunjuk isyarat lucah, hampir cetus kemalangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Polis mengesan seorang pemandu bas ekspres susulan satu hantaran tular di Facebook yang memaparkan tindakan lelaki berkenaan menunjukkan isyarat lucah serta memandu secara berbahaya sehingga hampir mencetuskan kemalangan.

Hantaran dimuat naik oleh pemilik akaun Muhazam Shah itu dikesan kira-kira pukul 2 petang tadi.

Menerusi video berdurasi 18 saat yang dimuat naik, kelihatan seorang lelaki dipercayai pemandu bas terbabit menghampiri tingkap sebuah kereta sebelum beredar selepas bercakap sesuatu dengan pemandunya.

Turut kedengaran suara seorang wanita memaklumkan bahawa mereka bukan ingin bergaduh, sebaliknya mahu membuat laporan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, polis telah menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 61 tahun berhubung kejadian yang dikatakan berlaku kira-kira pukul 11.38 pagi, semalam.

Katanya, ketika kejadian pengadu yang memandu kereta jenis Proton Persona dalam perjalanan dari arah Plaza Mahkota menuju ke Kota Laksamana.

“Pengadu mendakwa keretanya telah dihimpit bas terbabit di kawasan selekoh berhampiran Pusat Perubatan Mahkota sehingga kenderaannya hampir melanggar kon jalan.

“Selepas membuat pusingan U, bas berkenaan sekali lagi bertindak memotong dan menghimpit kenderaan mangsa di jejambat Syed Abdul Aziz sehingga hampir melanggar tembok,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, pengadu kemudian bertindak mengekori bas tersebut sebelum ia berhenti di bahu jalan di kawasan Kota Laksamana dan anaknya telah turun untuk mendapatkan maklumat.

“Pemandu bas berkenaan bagaimanapun didakwa bertindak agresif dengan cuba memukul serta mengajak bergaduh.

“Pihak polis memandang serius kejadian itu kerana melibatkan pemanduan berbahaya dan perlakuan agresif yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain,” ujarnya.

Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan di mana-mana balai polis berhampiran.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN