ARAU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis bertindak menyita sebuah kereta mewah jenis Lamborghini Revuelto yang dianggarkan bernilai RM2.3 juta dalam satu operasi harian di sekitar Jalan Kuala-Perlis, dekat sini baru-baru ini.
Menurut JPJ negeri, tindakan itu diambil setelah pemeriksaan mendapati Lesen Kenderaan Motor (LKM) kereta tersebut telah tamat tempoh serta tidak mempunyai perlindungan insurans.
“Sehubungan itu, tindakan sitaan telah dilaksanakan selaras dengan kuasa yang diperuntukkan di bawah undang-undang sedia ada. Kesalahan dilakukan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) serta Kaedah-kaedah Pengangkutan Jalan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata kenyataan itu, berdasarkan rekod dari Januari hingga kini, sebanyak enam kenderaan mewah telah disita.
“Tindakan sebahagian pemilik kenderaan mewah yang gagal membayar LKM telah menyebabkan berlakunya ketirisan hasil yang banyak kepada kerajaan memandangkan nilai LKM bagi sesebuah kenderaan mewah adalah tinggi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














