fbpx
Tangkap layar video dimuat naik memaparkan suasana di kawasan tuntutan bagasi di KLIA, semalam.

Tunggu bagasi hingga 4 jam di KLIA, ada yang hampir pengsan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Beberapa penumpang pesawat mendakwa berlaku kelewatan luar biasa dalam urusan pengambilan bagasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Menerusi hantaran dimuat naik @FaAjiero di aplikasi Thread, dia mendakwa penumpang yang menaiki pesawat semalam terpaksa menunggu sehingga empat jam untuk bagasi mereka keluar di balai ketibaan.

Menurutnya, keadaan itu menimbulkan rasa marah dan kecewa dalam kalangan penumpang, namun mereka cuba bersabar menantikan bagasi masing-masing.

“Empat jam nak tunggu bagasi keluar. Sekejap belt G lepas itu ke belt A. Ada yang tunggu enam jam, ada yang terlepas penerbangan, ada yang hampir pengsan sebab terlalu lama menunggu,” dakwanya.

Perkongsian itu turut disertakan dengan gambar suasana sesak di kawasan tuntutan bagasi yang memperlihatkan orang ramai berkumpul sambil menunggu bagasi mereka.

Sementara itu, seorang lagi penumpang dikenali @Ghafur_Ismail turut memuat naik hantaran mengenai isu yang sama apabila dirinya terpaksa menunggu lebih dua jam untuk urusan tuntutan bagasi.

“Apa yang dah jadi di KLIA hari ini (semalam)? Orang ramai tunggu lebih dua jam nak dapatkan bagasi. Tempat tuntutan bagasi sesak dengan orang ramai. Memalukan Malaysia apabila pelancong pun mengeluh tentang benda yang sama,” tulisnya.

Sementara itu, di ruangan komen, pihak pengurusan KLIA memaklumkan gangguan itu berpunca daripada masalah bekalan elektrik di sebuah stesen janakuasa luar yang menyebabkan sistem pengendalian bagasi terjejas buat sementara waktu, sekali gus mengakibatkan kelewatan di kawasan tuntutan bagasi.

Menurut kenyataan tersebut, pihaknya memahami kekecewaan penumpang, terutama mereka yang terpaksa menunggu lebih lama daripada kebiasaan.

“Bagi mengurangkan kesesakan, penumpang dibenarkan meninggalkan lapangan terbang dan kembali semula kemudian untuk mengambil bagasi masing-masing, selain maklumat terkini turut diberikan dari semasa ke semasa.

“Sistem berkenaan kini telah kembali pulih,” tulis @MalaysiaAirports.

Pihaknya turut memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku dan menzahirkan penghargaan atas kesabaran serta pemahaman penumpang.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN