TEHRAN – Presiden Masoud Pezeshkian berkata bahawa Iran tidak akan sesekali menyerah kepada Israel dan Amerika Syarikat ketika perang Asia Barat memasuki minggu kedua hari ini.
“Musuh-musuh Iran harus membawa hasrat untuk menyaksikan negara ini menyerah tanpa syarat ke kubur mereka,” kata Pezeshkian dalam ucapan yang disiarkan di saluran televisyen Tehran.
Israel dan Amerika Syarikat melancarkan serangan terhadap Iran pada 28 Februari lalu dan membunuh pemimpin tertinggi republik Islam itu, Ayatollah Ali Khamenei dan mencetuskan konflik serantau.
Iran bertindak balas dengan melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke atas Israel serta kepentingan AS di negara-negara serantau, terutamanya di Teluk.
Pezeshkian adalah antara tiga anggota majlis kepimpinan sementara yang bertanggungjawab ke atas Iran sejak kematian Khamenei.
Semasa ucapan itu, beliau memohon maaf kepada negara-negara jiran kerana serangan Iran di seluruh rantau itu, dengan berkata, mereka tidak akan disasarkan melainkan serangan bermula dari negara-negara tersebut.
“Saya mesti memohon maaf bagi pihak saya sendiri dan bagi pihak Iran kepada negara-negara jiran yang diserang oleh Tehran.
“Majlis kepimpinan sementara bersetuju semalam bahawa tiada lagi serangan akan dibuat ke atas negara-negara jiran dan tiada peluru berpandu akan dilancarkan melainkan serangan ke atas Iran berasal dari negara-negara tersebut,”. AFP














