fbpx
Mohamad Hasan.

Kembali kepada UMNO perlu ikut prosedur – Mohamad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEREMBAN – Mana-mana bekas ahli yang mahu kembali menyertai parti itu, termasuk Khairy Jamaluddin perlu melalui prosedur yang ditetapkan parti.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, UMNO tidak mempunyai masalah untuk menerima semula bekas ahlinya, namun sebarang permohonan perlu dibuat secara rasmi sebelum diputuskan oleh kepimpinan parti.

Menurutnya, permohonan bagi membatalkan penggantungan perlu dikemukakan kepada Setiausaha Agung sebelum dibawa ke Jawatankuasa Pengurusan parti.

“Kalau mahu kembali, boleh berunding semula. Mereka boleh menulis surat atau bertemu pihak parti untuk memohon pembatalan penggantungan.

“Permohonan itu kemudian akan dirujuk kepada bahagian serta badan perhubungan negeri sebelum dibawa ke Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk keputusan muktamad,” katanya ketika mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini yang mempelawa mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung untuk kembali menyertai parti itu tanpa syarat di bawah inisiatif “Rumah Bangsa”.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, BN secara dasar menyasarkan untuk bertanding sekurang-kurangnya 115 kerusi Parlimen pada pilihan raya akan datang.

Katanya, sasaran itu penting bagi memastikan BN berpeluang membentuk kerajaan sendiri memandangkan sekurang-kurangnya 112 kerusi diperlukan untuk membentuk kerajaan Persekutuan.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI