fbpx
Ahmad Zahid (kanan) mendengar penerangan berhubung jalan tersebut pada majlis pelancarannya di Bagan Datuk hari ini.

Jalan siap awal, beri manfaat lebih 7,000 penduduk Bagan Datuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAGAN DATUK – Lebih 7,000 penduduk dari sembilan buah kampung di Bagan Datuk menerima manfaat setelah jalan baru di bawah Projek Menaiktaraf Jambatan Sempit Di Simpang Masjid Al-Quro’ berjaya disiapkan lima bulan lebih awal daripada perancangan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, projek itu dilaksanakan untuk menaik taraf struktur jambatan yang dikenal pasti uzur, sempit dan berisiko tinggi sebagai tidak selamat kepada pengguna jalan raya setempat secara khususnya.

“Di samping itu juga, kesesakan trafik juga berlaku di kawasan Pekan Bagan Datuk terutamanya pada hujung minggu apabila menerima kunjungan pelancong dalam dan luar negara ke lokasi tarikan menarik seperti Masjid Tuminah Hamidi, Dataran Bagan Datuk, Taman Bunga Matahari, Sky Mirror dan lain-lain.

“Oleh itu, bagi meningkatkan taraf sosioekonomi setempat dan penyelesaian kepada masalah berkenaan, projek itu diluluskan pada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) 3rd Rolling Plan yang dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) dan JKR Malaysia merupakan agensi pelaksana,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pelancaran jalan baru tersebut di Bagan Datuk hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, projek naik taraf dilaksanakan dengan melibatkan skop kerja menaik taraf jambatan satu lorong dua hala sedia ada.

Beliau berkata, kerja itu melibatkan menggantikan jambatan sedia ada di persimpangan utama Pekan Bagan Datuk yang menghubungkan Kg. Pasang Api dan kawasan berhampiran ke laluan utama Jalan Persekutuan FT069.

“Tarikh mula projek ini adalah pada 8 Ogos 2024 dan tarikh siap asal pula adalah pada 5 Ogos 2026 iaitu selama 24 bulan dengan kos yang diperuntukkan sebanyak RM 2.9 Juta.

“Hasil kerjasama serta dengan komitmen yang tinggi daripada semua pihak, projek ini telah berjaya disiapkan pada 4 Mac 2026 iaitu lima bulan lebih awal,” katanya.

Kontraktor yang dilantik adalah syarikat MS Mega Jaya Sdn. Bhd. dengan kos penyiapan pembinaan adalah sebanyak RM 2.1 juta dan penjimatan sebanyak RM800,000.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata, penyiapan projek itu secara langsung dapat melancarkan pergerakan lalu lintas agar lebih efisien di sekitar Pekan Datuk melibatkan 7,000 orang penduduk sekitar.

“Sembilan buah kampung terlibat ialah Kampung Teluk Penikam, Kampung Pasang Api, Kampung Sungai Nipah Baroh, Kampung Sungai Betul, Kampung Sungai Burung, Kampung Sungai Balai Darat, Kampung Matang Kunda, Kampung Kebun Sayur dan Kampung Sungai Pergam,” katanya.

Beliau berkata, jalan berkenaan meningkatkan tahap keselamatan jalan raya kepada pengguna serta penduduk sekitar, malah laluan itu menghubungkan terus ke Jalan Negeri A123, Jalan Persekutuan FT069, Jambatan Sultan Nazrin Shah FT312 seterusnya ke Lebuhraya Pantai Barat (WCE).

“Kesinambungan laluan ini akan merangsang pertumbuhan sosioekonomi kepada penduduk Pekan Bagan Datuk keseluruhannya serta memberikan kesan yang signifikan untuk menarik lebih ramai pelancong dalam dan luar negara mengunjungi Daerah Bagan Datuk sempena Tahun Melawat Malaysia Tahun 2026,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN