PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang bekas penolong akauntan sebuah agensi kerajaan kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butiran matan palsu berjumlah kira-kira RM90,000.
Menurut sumber, suspek wanita berusia lingkungan 50-an telah ditahan kira-kira pukul 1 petang dalam satu operasi yang dijalankan SPRM di sekitar Kota Kinabalu, Sabah.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut sekitar tahun lalu.
“Suspek dipercayai mengemukakan dokumen pesanan kerajaan, invois dan sebut harga syarikat yang mengandungi butir matan palsu melibatkan pembekalan dan kerja-kerja naik taraf dan penyelenggaraan jabatan tempatnya bekerja.
“Suspek juga disyaki telah membuat lantikan terus kepada syarikat milik ahli keluarganya bagi mendapatkan suapan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 dan 23 Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE














