KUALA TERENGGANU – Niat hati seorang suri rumah untuk menambah pendapatan keluarga lebur malah wang simpanan suaminnya berjumlah RM95,715.40 pula lesap akibat diperdaya sindiket pekerjaan sambilan tidak wujud.
Wanita berusia 37 tahun yang meyedari tertipu tersebut telah membuat laporan berhubung kes tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini pada pukul 6.02 petang, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, suri rumah itu tertarik dengan iklan tawaran kerja sambilan yang dilihatnya menerusi laman Facebook di rumahnya pada 8 Mei lalu.
“Mangsa telah berurusan dengan individu tidak dikenali mendakwa wakil syarikat setelah menekan pautan diberikan.
“Dia yang teruja dengan kerja sambilan yang menawarkan pendapatan lumayan kemudiannya dimasukkan ke dalam kumpulan aplikasi Telegram sebelum mula diberi tugasan,” katanya di sini hari ini.
Azli berkata, suri rumah tersebut semakin seronok apabila menerima komisyen RM85 daripada dua tugasan awal dilakukannya.
Beliau berkata, ia membuat wanita terbabit terus teruja membuat tugasan seterusnya termasuk mematuhi arahan suspek untuk membuat pembayaran.
“Mangsa melakukan transaksi berjumlah keseluruhan RM95,715.40 ke dalam tujuh akaun bank diberi suspek antara 8 Mei hingga 18 Mei lalu namun tidak menerima lagi apa-apa komisyen lain daripada tugasan-tugasan dilakukan selepas itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE














