KOTA TINGGI – Seorang penduduk di Bukit Samsu, di sini menghalau dua ekor gajar liar yang ‘berkunjung’ ke kawasan perumahannya dengan sopan sehingga menarik perhatian pengguna media sosial.
Menerusi video berdurasi 21 saat yang tular di media sosial, haiwan itu dilihat seperti akur mendengar kata-kata wanita tersebut sebelum beredar meninggalkan kawasan berkenaan.
Rata-rata pengguna media sosial terhibur apabila wanita itu mengarahkan gajah pulang ke habitat dengan menggunakan suara dan nada lembut seolah-olah bercakap dengan kanak-kanak.
“Balik haa, balik..haa dah bawa balik..ni haa dua ekor ni…haa dah, pergi balik,” katanya sebelum melihat mamalia tersebut berlalu pergi.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, Aminuddin Jamin berkata, pihaknya belum menerima laporan berhubung kejadian tersebut, namun anggota sudah diarahkan untuk menyiasat insiden berkenaan.
“Setakat ini, kita belum terima lagi laporan. Anggota kita akan siasat,” katanya ringkas.- KOSMO! ONLINE














