SELEPAS membaca laporan Kosmo! mengenai sikap orang ramai yang meninggalkan bekas minuman di atas tembok di hadapan kedai di Bangi Sentral baru-baru ini, saya menelusuri tempat yang sama pada malam minggu lalu dan ternyata keadaan masih tidak berubah.
Dalam hati terbit rasa geram dan marah. Mengapa tak reti nak buang sampah sendiri? Tak kan itu pun tak tahu? Tak kan tidak ada rasa bersalah? Itu belum lagi puntung rokok yang bertaburan.
Walaupun saya pun merokok tetapi sakit mata tengok puntung dibuang merata-rata.
Tahun ini adalah tahun ke-69 kemerdekaan negara tetapi isu kebersihan dan sampah masih tidak selesai. Sebab itu, apabila Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) dengan perintah khidmat masyarakat dikuatkuasakan pada awal tahun ini, ramai yang sudah disaman.
Kalau pihak berkuasa tempatan benar-benar mahu ‘buat duit’, letak sahaja penguat kuasa setiap malam di kawasan tumpuan orang ramai beli-belah atau mana-mana bazar Aidilfitri, pasti ramai yang tertangkap. Bermakna, masih banyak usaha diperlukan untuk membentuk generasi yang peka dan cintakan kebersihan.
Isu sampah yang tidak pernah selesai ini juga adalah cerminan kepada sikap sebenar kebanyakan daripada kita. Nanti ada orang bersihkan. Itu masih sikap kita. Memang benar ada pekerja pembersihan tetapi apakah itu budaya dan didikan kita selama ini? Apakah perkara sama kita lakukan di rumah?
Kita sanggup berhabis wang untuk kelihatan cantik ketika menghadiri apa-apa acara tetapi bab menjaga ‘kecantikan’ tempat yang kita kunjungi, kita gagal. Bukit Bintang pernah menjadi viral kerana timbunan sampah yang ditinggalkan pengunjung pada sambutan Krismas tahun lalu. Sangat memalukan dan diharap ia tidak berulang.
Akibat sikap itu, pekerja pembersihan perlu bekerja sampai ke subuh. Walaupun itu memang tugas mereka tetapi di mana tanggungjawab kita sebagai warga. Apabila kita berterusan bersikap begitu, negara terpaksa terus membawa masuk pekerja asing untuk kerja-kerja pembersihan.
Sebab itu, apabila denda khidmat masyarakat itu diperkenalkan, semua pihak wajib sokong. Bukan untuk mengaibkan sesiapa tetapi sebagai pengajaran kepada semua. Ada yang mengecam pendekatan ‘menghukum’ itu berbanding mendidik tetapi hukuman memang bertujuan mendidik.
Apatah lagi, sejak kecil kita diajar untuk membuang sampah di tempat yang betul tetapi perkara tidak menjadi amalan hidup. Sampah terus menjadi masalah. Justeru, hukuman dilihat langkah paling wajar, malah mungkin lebih berat pada masa depan jika sikap masyarakat tidak berubah.
Di Jepun, tong sampah tidak disediakan di tempat awam tetapi tidak pula ada sampah kelihatan bersepah-sepah. Ada kisah di sebalik ketiadaan tong sampah awam di negara tersebut tetapi rakyatnya tidak menjadikan itu sebagai alasan untuk mengotori tempat awam.
Mereka simpan dahulu sampah dan buang apabila terjumpa tong sampah atau setelah sampai di rumah. Seronok tengok disiplin rakyat Jepun dalam soal ini. Tidak tahulah bila rakyat Malaysia boleh berubah seperti itu. -KOSMO! ONLINE














