Saudara Pengarang,
Saya ingin membangkitkan isu pembakaran sampah secara terbuka di kawasan pembuangan sampah di pekan Selekoh, Bagan Datok, Perak yang semakin membimbangkan.
Persoalannya, mengapa masih ada segelintir warga yang sanggup membakar sampah di dalam tong dan di kawasan pembuangan sedangkan tindakan itu jelas menyalahi peraturan serta mengundang pencemaran udara?
Akibat perbuatan tidak bertanggungjawab itu, asap tebal dan bau hangit memenuhi kawasan sekitar sehingga mengganggu penduduk serta pengguna jalan raya.
Lebih membimbangkan, lokasi tersebut terletak berhampiran sebuah sekolah.
Murid-murid, guru dan orang awam berisiko menghidu asap yang boleh menjejaskan kesihatan, selain mengurangkan jarak penglihatan pemandu di kawasan selekoh dan meningkatkan risiko kemalangan.
Papan tanda di lokasi juga jelas memaklumkan bahawa hanya sisa domestik dibenarkan dibuang ke dalam tong, bukannya dibakar. Malangnya, arahan itu seolah-olah tidak dipedulikan.
Saya berharap Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) bersama pihak berkaitan dapat mempertingkatkan pemantauan, mengenal pasti individu yang melakukan pembakaran terbuka dan mengambil tindakan tegas.
Kesedaran masyarakat juga perlu dipupuk agar kemudahan awam digunakan dengan bertanggungjawab, bukannya menjadi punca pencemaran yang menjejaskan kesejahteraan penduduk.
Din Jawa
Penduduk Selekoh














