PASIR PUTEH – Seorang peniaga di Kampung Padang Pak Amat di sini tampil dengan idea kreatif apabila memperkenalkan roti john yang dijualnya dengan panggilan roti Jusoh dalam usaha menarik perhatian pelanggan.
Ahmad Adam Fikri Ridzuan, 32, yang merupakan pemilik Planet Lapar Cafe berkata, dia menukar nama itu bagi menampilkan identiti tempatan selain menggunakan inti daging lembu carik premium yang dimasak secara perlahan.
Menurutnya, kesemua 80 bungkus roti Jusoh yang dihasilkan setiap hari sepanjang hampir dua minggu Ramadan habis dalam tempoh 30 minit sahaja.
“Kita mula operasi kira-kira pukul 4 petang untuk penyediaan awal membuat hidangan roti Jusoh sebelum gerai dibuka sejam kemudian.
“Kebiasaannya, gerai saya akan tutup pada pukul 5.30 petang selepas kesemua 80 bungkus roti Jusoh habis dibeli pelanggan,” katanya ketika ditemui Kosmo! digerai jualannya di Kampung Padang Pak Amat di sini kelmarin.
Ahmad Adam memberitahu, sebungkus roti Jusoh yang padat dengan inti daging lembu dijual pada harga RM10 dengan ada pelanggan yang datang dari luar Pasir Puteh untuk membeli hidangan itu.
Menurutnya, sebanyak lapan kilogram daging lembu digunakan setiap hari sebelum ia dimasak selama lima jam bagi memastikan tekstur lembut dan berjus.
“Daging lembu itu dimasak sehingga empuk dan dipotong halus-halus. Sebanyak 80 biji telur ayam dan kubis dicampur bersama daging-daging tersebut.
“Roti tersebut turut disiram sos istimewa iaitu minyak kismis yang menjadikan rasa dan identiti tersendiri bagi roti Jusoh,” ujarnya yang menerima tempahan secara dalam talian.














