REMBAU – Kemeriahan sambutan Hari Raya Aidiladha makin terasa apabila golongan penternak termasuk peniaga pasar semakin rancak menguruskan tempahan pelanggan masing-masing termasuk dalam urusan ibadah korban.
Seorang penternak di Kampung Tanjung Sena di sini mengakui mampu menjual sekurang-kurangnya tiga tan daging segar sempena tiga hari mantai Hari Raya Aidiladha.
Mohd. Aidil Mansor, 47, berkata, dia sudah pun menternak lembu sejak 27 tahun lalu, namun hanya mula menjual daging segar selepas pandemik Covid-19 iaitu kira-kira lima tahun lalu.
“Sebelum ini saya jual lembu hidup sahaja, tetapi semasa Covid-19 macam tiada aktiviti yang boleh dibuat. Masa itu penternak dibenarkan untuk buat perniagaan secara tunai semasa penghantaran (COD), jadi saya jual terus daging sedar.
“Jualan pada musim perayaan mampu mencecah setan sehari atau lebih bergantung kepada pembeli dan juga kudrat pekerja saya. Kalau musim mantai memang meriah. Orang mula datang selepas subuh lagi dan ada yang sanggup beratur panjang sebab harga kita murah sekitar RM30 sekilogram.
“Pembeli bukan sahaja dari kawasan Seremban, malah ramai datang dari Nilai, Sendayan dan Rantau kerana mereka beli terus di ladang,” katanya.
Mohd Aidil berkata, selain jualan daging segar, dia turut menjual lembu hidup bagi ibadah korban.
“Untuk tahun ini, lebih 200 ekor lembu pelbagai saiz dengan berat sekitar 260 kilogram sehingga satu tan termasuk dijual pada harga serendah RM4,000 hingga RM20,000 seekor.
Di Melaka, walaupun harga daun ketupat meningkat menjelang Aidiladha, orang ramai di negeri ini tetap membeli demi memastikan juadah tradisi seperti ketupat tidak ‘hilang’ di pagi raya.
Bagaimanapun tinjauan Kosmo! mendapati, penjual daun ketupat di beberapa lokasi sekitar negeri ini juga semakin berkurangan berikutan masalah bekalan selain kesukaran mendapatkan daun kelapa berkualiti.
Seorang peniaga, Jamilah Mahat, 59, berkata, dia menjual 50 helai daun ketupat pada harga RM11, namun harga itu bergantung kepada bekalan semasa yang diperoleh dari Indonesia.
Menurutnya, daun kelapa tempatan sukar digunakan kerana banyak yang rosak akibat serangan haiwan perosak selain pokok kelapa yang semakin berkurangan.
“Kalau di Malaysia banyak daun berlubang dan rosak, sebab itu dari dulu memang saya ambil bekalan dari Indonesia.
“Harga pula tidak menentu. Kalau harga asal mahal, saya terpaksa naikkan harga juga, tapi biasanya saya lebihkan sehelai dua untuk pelanggan,” katanya ketika ditemui di Permatang Duyong di sini semalam.
Di Kota Bharu, Kelantan, suasana Pasar Padang Kala dekat Melor semakin meriah apabila orang ramai terutamanya penduduk setempat mula membeli barangan dapur dan kelengkapan untuk memasak sempena sambutan Aidiladha esok.

Tinjauan di pasar itu mendapati, pelanggan mula memasuki kawasan pasar seawal pukul 7.30 pagi untuk membeli daging lembu, ayam, ikan dan sayur-sayuran.
Seorang suri rumah, Nurhapizah Ariffin, 43, berkata, dia membeli semua persiapan termasuk barangan basah dan kering di pasar tersebut bagi mengelak kelengkapan tersebut kehabisan stok jika membelinya pada saat akhir.
Menurutnya, dia juga membuat persiapan awal kerana bimbang berlaku kenaikan harga barang secara mengejut sekiranya membeli barangan ketika hampir dengan Hari Raya Aidiladha.
“Saya beli daging lembu, ayam, ikan, sayur-sayuran, bawang dan cili untuk dijadikan stok kerana kedai biasanya tidak akan beroperasi selama dua hari berturut-turut pada hari raya.
“Setakat ini, harga yang ditawarkan di Pasar Padang Kala masih kekal seperti biasa dan tidak menunjukkan peningkatan.
“Saya lihat orang ramai sudah sibuk membeli barangan keperluan hari ini (semalam) walaupun Hari Raya Aidiladha jatuh pada hari Rabu ini,” katanya.














