HARI ini umat Islam menyambut Hari Raya Aidiladha dan seperti biasa, masjid serta surau di seluruh negara sibuk melaksanakan ibadah korban.
Ada yang menyimpan wang berbulan-bulan demi menyertai korban di masjid dan surau, yang kebiasaannya dibuat secara bergotong-royong bersama jawatankuasa serta kariah.
Setiap tahun umat Islam menjalani korban, kadangkala ada sahaja isu-isu ditimbulkan orang ramai sepanjang ibadah itu dilakukan, malah turut diperkatakan di dalam media sosial.
Isu seperti hanya muncul ‘setahun sekali’ di masjid dan surau serta tidak bersama-sama menyertai gotong-royong ahli kariah, antara perkara sering ditimbulkan semasa ibadah berlangsung.
Hakikatnya, ibadah korban bukan sekadar urusan transaksi wang. Ia mengandungi nilai pengorbanan, keikhlasan dan semangat kebersamaan dalam komuniti Islam.
Tempat korban bukan lokasi bergambar tahunan semata-mata yang kemudiannya sekadar menghiasi akaun media sosial peribadi, tetapi ia mengajar umat Islam erti keikhlasan.
Segelintir masyarat juga perlu berhenti dan tidak menyerahkan gotong-royong ibadah korban itu sebagai tugas untuk ‘orang masjid’ semata-mata, manakala mereka datang sebagai ‘tetamu’.
Program korban ini seharusnya menjadi ruang mengeratkan ukhuwah antara kariah dan penduduk kampung, perumahan termasuk ‘orang masjid’ dan generasi ‘veteran’ dengan anak muda.
Selain teguran berkaitan gotong-royong, perkara lain turut menjadi ‘cakap-cakap’ orang ramai adalah berkaitan pengagihan daging korban kepada ahli kariah, kampung atau perumahan.
Perkara berkaitan korban juga sering mendapat penjelasan daripada para asatizah dan pendakwah, malah selari dengan teguran Ustaz Azhar Idrus dalam memastikan ibadah dijalankan sah di sisi syariat.
Beliau turut menekankan perkara paling asas dalam setiap amalan adalah niat kerana tanpa niat sahih sebelum atau semasa sembelihan dilakukan, amalan tersebut akan runtuh.
Menurutnya, satu lagi perkara jarang disedari ialah kegagalan pengagihan daging kepada orang yang berhak iaitu fakir miskin.
“Satu lagi tak sah korban buat makan mereka sendiri semuanya, tidak memberinya kepada orang miskin dan ini tidak sah.
“Misalnya, seekor lembu atau sebahagian 15 kilogram dijamu untuk majlis nikah atau tunang, tidak sah.
“Dia hanya boleh memperoleh pahala jamu orang sahaja, sedangkan wajib beri daging mentah kepada orang miskin,” katanya dalam satu sesi ceramah.
Beliau juga menegur, ramai yang tidak sah ibadah korbannya kerana mereka tidak memberi daging mentah kepada orang miskin, malah menuntut untuk diberi keseluruhan bahagian bagi kegunaan diri sendiri.
“Semua dia nak (bahagian korban) untuk masak ajak kawan-kawan datang rumah makan. Tak sah korban.
“Korban, afdalnya ambil sedikit, sebesen beri kepada orang miskin. Kita beri orang miskin sedikit, sebesen bawa balik ke rumah,” katanya.















