Ali Abdul Rahman mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu secara melulu di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur semalam.

Kedutaan bantu pelajar Libya bayar jaminan RM17,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

 

KUALA LUMPUR – Seorang penuntut universiti warga Libya yang didakwa memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian seorang pesara tentera di Jalan Jelatek di sini telah membayar wang jaminan RM17,000 dengan bantuan kedutaan negaranya.

Sumber berkata, Ali Abdul Rahman Mahmoud Elmaki, 32, kemudian dibebaskan selepas membayar wang jaminan berkenaan semalam.

“Dia berjaya membayar jaminan dengan bantuan kedutaan negaranya,” katanya.

Ali Abdul Rahman yang sedang mengikuti pengajian peringkat sarjana di sebuah universiti swasta, mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Amalina Johar semalam.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu kereta Proton Saga secara melulu dan berbahaya di Jalan Jelatek, dari arah Wangsa Maju menghala ke Taman Keramat jam 1 pagi pada 21 November lalu sehingga menyebabkan kematian Mohd Hairezam Omar, 43.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd Zamry membantah sebarang jaminan diberikan dengan alasan kesalahan itu serius selain mengambil kira status tertuduh sebagai warga asing.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM70,000 dengan dua penjamin warga tempatan sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan jaminan.

Peguam tertuduh, K Ramalingam memohon jaminan dikurangkan kepada RM10,000 dengan alasan anak guamnya dijadualkan menduduki peperiksaan pada bulan depan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM17,000 dengan dua penjamin warga tempatan berserta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.

Lesen memandu tertuduh turut digantung sehingga kes selesai, manakala 28 Januari depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan, mangsa yang menunggang motosikal dari arah Taman Keramat menuju ke Setiawangsa maut selepas dirempuh kereta dipandu tertuduh yang didakwa melanggar lampu isyarat merah.

Mangsa yang cedera parah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala ujian saringan alkohol dan air kencing terhadap tertuduh didapati negatif.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN