fbpx
GAMBAR HIASAN

UAE umum pembukaan laluan udara selamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA- Pihak Berkuasa Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengumumkan pembukaan laluan udara selamat, sekali gus dilihat memberi petunjuk positif kepada rakyat Malaysia yang terkandas untuk mendapatkan penerbangan pulang ke tanah air.

Kementerian Luar Negeri (KLN) berkata, susulan pengumuman itu, perwakilan sedang berurusan dengan pihak berkuasa berkaitan serta pihak berkepentingan operasi bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai pelaksanaan itu.

“Sejak pemakluman terdahulu, pihak berkuasa di UAE telah mengumumkan pembukaan laluan udara selamat yang ditetapkan.

“Malaysia Aviation Group turut mengumumkan penyambungan semula sementara penerbangan ke dan dari Jeddah serta Madinah pada 4 hingga 8 Mac depan.

“Kementerian mengambil maklum perkembangan ini sementara Perwakilan Diplomatik Malaysia terus berhubung rapat dengan pihak berkuasa berkaitan serta rakan operasi bagi menyokong rakyat Malaysia yang terjejas akibat gangguan perjalanan berterusan,” katanya hari ini.

Tambah KLN, di UAE pula, Kedutaan Malaysia di Abu Dhabi dan Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai terus berhubung secara berterusan dengan rakyat Malaysia terjejas akibat gangguan penerbangan, khususnya mereka yang menunggu pengaturan perjalanan seterusnya.

“Pegawai konsular turut meneruskan penilaian kebajikan dan keperluan berasaskan situasi, dengan keutamaan diberikan kepada mereka yang mengalami tempoh transit yang berpanjangan atau berdepan pengaturan penginapan yang bersifat sementara,” katanya.

Sementara itu, Di Arab Saudi pula, Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah terus memantau keadaan melibatkan jemaah umrah yang terjejas akibat gangguan perjalanan.

“Pegawai konsular kekal berhubung dengan pihak berkaitan bagi menyokong pengaturan kebajikan sementara sambil memantau perkembangan berkaitan penyambungan semula operasi penerbangan komersial yang melibatkan Jeddah dan Madinah secara berperingkat,” katanya.

KLN berkata, Perwakilan Diplomatik Malaysia di Oman, Qatar dan Bahrain turut memantau rakyat Malaysia yang terjejas akibat gangguan ruang udara serantau, termasuk mereka yang berada dalam transit atau menunggu pengaturan perjalanan baharu.

“Pegawai konsular kekal berhubung dengan rakyat Malaysia yang berdaftar serta menyalurkan panduan konsular dan semakan kebajikan mengikut keperluan.

“Di negara-negara terjejas lain termasuk Iran, Iraq, Lubnan, Jordan dan Syria, Perwakilan Diplomatik Malaysia kekal berhubung dengan rakyat Malaysia yang berdaftar termasuk pelajar.

“Rakyat Malaysia yang telah berkomunikasi dengan Perwakilan dilaporkan selamat dan dinasihatkan supaya terus berwaspada serta mematuhi panduan pihak berkuasa tempatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI