LONDON – Beribu-ribu penerbangan lagi dibatalkan kelmarin ketika perjalanan udara global menjadi huru-hara susulan perang Amerika Syarikat-Israel ke atas Iran yang berterusan, manakala ratusan ribu penumpang turut terkandas, lapor akhbar The Guardian.
Lapangan terbang dan syarikat penerbangan di rantau Teluk telah menggantung operasi sehingga sekurang-kurangnya pukul 6 petang (waktu Malaysia) semalam. Bagaimanapun, beberapa perkhidmatan khas dijadualkan berlepas dari Emiriyah Arab Bersatu(UAE) petang kelmarin.
Terdahulu kelmarin, Presiden Donald Trump menyatakan bahawa tindakan ketenteraan Washington ke atas Iran mungkin berterusan selama lebih empat minggu.
Sebilangan penerbangan dan syarikat pelancongan menawarkan bayaran balik atau pertukaran jadual secara percuma kepada penumpang yang sepatutnya berlepas dalam masa beberapa minggu akan datang.
Lapangan-lapangan terbang utama Asia Barat termasuk Dubai selaku hab antarabangsa paling sibuk di dunia, ditutup untuk hari ketiga berturut-turut kelmarin ketika industri penerbangan mengalami kejutan paling buruk sejak pandemik Covid melumpuhkan sektor aviasi.
Penerbangan di seluruh Asia Barat telah dibatalkan, menjejaskan ribuan perkhidmatan setakat ini ketika syarikat-syarikat penerbangan antarabangsa terus menggantung perkhidmatan masing-masing.
Menjelang pukul 1 tengah hari (waktu Malaysia) semalam, perunding aviasi Cirium menyatakan, hampir 1,700 penerbangan ke Asia Barat telah dibatalkan. Menurutnya, angka tersebut adalah rendah disebabkan data terhad yang datang dari Iran dan UAE.
Pembatalan paling banyak menjejaskan syarikat penerbangan Teluk, yang ketiga-tiganya kini menghubungkan penumpang di seluruh dunia melalui hab mereka.
Emirates yang berpangkalan di Dubai, dan Etihad Airways di Abu Dhabi berkata, penerbangan masuk dan keluar dari hab mereka tidak akan beroperasi sehingga semalam, manakala Qatar Airways menggantung operasi selagi ruang udara Qatar kekal ditutup.
Hampir 2,800 penerbangan dibatalkan pada Sabtu lepas, dan 3,156 dibatalkan keesokan harinya, demikian menurut platform penjejakan penerbangan FlightAware.
Beberapa penerbangan ke Cyprus juga terjejas, dengan easyJet membatalkan penerbangan antara Paphos dan Larnaca serta United Kingdom kelmarin dan semalam selepas sebuah dron melanggar pangkalan Tentera Udara Diraja Britain(RAF) di Akrotiri.
British Airways berkata, pihaknya telah membatalkan perkhidmatan Larnaca kelmarin.
Dalam perkembangan berkaitan, ruang udara di Iran, Iraq, Kuwait, Israel, Bahrain, UAE dan Qatar masih ditutup setakat kelmarin, kata Flightradar24.
Impak gangguan udara kali ini melangkaui Asia Barat, dengan ratusan ribu penumpang terkandas dari Bali hingga ke Frankfurt. Air India membatalkan penerbangan yang berlepas dari Delhi, Mumbai dan Amritsar ke bandar-bandar besar di Eropah dan Amerika Utara pada Ahad lepas. – AGENSI














