MEKAH – Jemaah haji Malaysia ingin pulang ke tanah air tidak perlu beratur panjang di lapangan terbang menerusi perkhidmatan daftar masuk bandar (CCI) disediakan oleh Lembaga Tabung Haji (TH).
Jemaah haji, Rosnita Zazid Suin, 49, dari Jelebu berkata, perkhidmatan CCI sebagai sangat membantu dan memudahkan urusan kepulangan jemaah ke tanah air.
“Daripada awal lagi mereka sudah memberikan maklumat dalam kumpulan WhatsApp. Jadi kami lebih bersedia untuk meletakkan beg di luar lebih awal sebelum petugas datang mengambilnya.
“Apabila petugas sampai, semuanya nampak teratur dan berjalan lancar,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Katanya, proses berkenaan amat memudahkan terutama bagi jemaah warga emas yang tidak lagi perlu menguruskan bagasi besar ketika bergerak ke lapangan terbang.
“Memang sangat memudahkan jemaah, lebih-lebih lagi bagi jemaah berusia kerana tidak perlu mengangkat atau membawa beg besar sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Operasi Pengendalian Jemaah Haji, Mohd Ridzuan Yusoff berkata, CCI membolehkan jemaah melakukan proses daftar masuk bagasi kira-kira 48 jam sebelum berlepas ke lapangan terbang di hotel penginapan.
Menurut beliau, inisiatif hasil kerjasama TH dan syarikat penerbangan sejak 2013 itu bertujuan mengurangkan beban jemaah membawa bagasi ketika menaiki bas dan menjalani urusan daftar masuk di lapangan terbang.
“Melalui proses CCI ini, jemaah tidak perlu membawa beg bagasi ketika bergerak ke lapangan terbang kerana urusan daftar masuk sudah dilakukan lebih awal,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menasihatkan jemaah supaya merujuk poster barangan larangan yang disediakan TH bagi mengelakkan sebarang masalah ketika proses saringan bagasi.
Beliau turut mengingatkan jemaah supaya tidak membawa barang larangan terutama air zamzam di dalam bagasi daftar masuk.
“Sekiranya bagasi melebihi had ditetapkan, jemaah perlu mengeluarkan lebihan tersebut dan menggunakan perkhidmatan pos yang disediakan di bangunan penginapan jemaah,” katanya. – KOSMO! ONLINE














