KUALA LUMPUR – Malaysia Airlines melakar sejarah baharu dalam landasan pemodenan asetnya apabila selamat menerima ketibaan pesawat Boeing 737-8 ke empat tahun ini, sekali gus melengkapkan penghantaran pesawat Boeing ke-200 buat syarikat penerbangan nasional itu sejak tahun 1972.
Pesawat dengan nombor pendaftaran 9M-MVR itu selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 1.30 tengah hari tadi, selepas menempuh perjalanan selama 19 jam 44 minit dari Pusat Penghantaran Boeing di Seattle, Amerika Syarikat.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG), Kapten Nasaruddin A. Bakar berkata, penghantaran kali ini membawa signifikan yang amat besar kepada kumpulan bukan sekadar penambahan flit, malah mencerminkan sejarah operasi utuh yang menyokong pertumbuhan kapasiti syarikat sejak berdekad lalu.
Menurut beliau, pengenalan pesawat generasi baharu ini akan terus memperkukuh keupayaan syarikat untuk merebut peluang pertumbuhan masa depan serta memenuhi keperluan pasaran yang dinamik.
”Ia adalah sebahagian daripada misi mendalam kami untuk terus menghubungkan Malaysia dengan dunia, di samping menawarkan pengalaman perjalanan yang lebih moden dan selesa kepada pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sejarah flit Malaysia Airlines sebelum ini pernah diwarnai oleh pengoperasian pesawat berbadan lebar ikonik seperti Boeing 747 dan Boeing 777 yang memacu keupayaan penerbangan jarak jauh negara pada fasa pertumbuhan utamanya.
Mengulas mengenai profil penerbangan berstatus MH5045 itu, pesawat berkenaan berlepas dari Seattle pada 21 Mei lalu pada pukul 2.00 petang waktu tempatan dan sebelum tiba di tanah air, ia telah melakukan hentian teknikal untuk mengisi minyak di Honolulu dan Guam.
Penerbangan bersejarah itu dikendalikan oleh Kapten Arian Syazwara B. Adenan, Kapten Mohd Aidilputra Abd Razak dan Pegawai Kanan Pertama, Ahmad Asnawi bin Ahmad Rahman
Sehingga kini, MAG telah menerima sebanyak 18 pesawat Boeing 737-8 daripada keseluruhan tempahan 55 buah pesawat koridor tunggal (narrowbody) jenama itu.
Baki tempahan yang merangkumi 43 buah Boeing 737-8 dan 12 buah Boeing 737-10 dijangka diterima secara berperingkat sehingga tahun 2030. -KOSMO! ONLINE














