PETALING JAYA – Ketersediaan bekalan serta kestabilan harga barang wajib terjamin di seluruh negara tanpa sebarang alasan, meskipun permintaan barangan keperluan meningkat secara ketara sempena Ramadan dan menjelang Syawal.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memastikan pemantauan berterusan diperhebat menerusi Ops Pantau 2026.
“Perdana Menteri turut mahu pemantauan harga makanan di bazar Ramadan seluruh negara diselia dengan lebih rapi agar kekal munasabah dan berpatutan.
“Beliau turut menitikberatkan agar premis perniagaan menepati piawaian kebersihan dengan sokongan kemudahan yang baik oleh setiap pihak berkuasa tempatan,” katanya ketika menyampaikan Takilmat Pejabat Perdana Menteri, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, Program Jualan Rahmah Madani akan diteruskan sepanjang Ramadan bagi memberikan akses kepada barangan keperluan dengan harga yang lebih rendah kepada rakyat.
Beliau menambah, kerajaan komited untuk memastikan Ramadan dan Syawal tahun ini menjadi perayaan yang penuh makna bagi semua rakyat Malaysia, tanpa bebanan kos sara hidup yang berlebihan. – KOSMO! ONLINE














