SEREMBAN – Permintaan tiket bas ekspres sempena Hari Raya Aidilfitri di Terminal Satu Seremban meningkat mendadak apabila 90 peratus tiket bagi laluan Pantai Timur habis terjual selepas tempahan dibuka secara dalam talian sejak dua hari lalu.
Tinjauan mendapati kaunter jualan fizikal masih belum beroperasi sepenuhnya bagi musim perayaan, namun orang ramai tidak menunggu lama apabila mula mendapatkan tiket lebih awal menerusi laman sesawang dan aplikasi rasmi syarikat bas.
Destinasi seperti Kuala Terengganu dan Kota Bharu mencatatkan jualan terpantas, manakala tiket ke laluan utara masih belum tersedia buat masa ini.
Pengurus Fasiliti Terminal Satu, Zulkifli Rahman berkata, terdapat 80 syarikat bas berdaftar yang aktif beroperasi di terminal berkenaan berbanding 65 sebelum ini, dengan sebahagian pengusaha menutup jualan lebih awal berikutan sambutan luar jangka.
Beliau berkata, harga tiket bagi musim perayaan tahun ini turut menyaksikan kenaikan sekitar 10 peratus selaras penetapan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Bagi laluan Seremban–Kota Bharu, harga tiket sehala ditawarkan antara RM65 hingga RM97, manakala Seremban–Kuala Terengganu antara RM70 hingga RM78. – KOSMO! ONLINE














