KUALA LUMPUR – Dadah sintetik kini menjadi ancaman utama penyalahgunaan dadah di negara ini apabila merangkumi kira-kira 70 peratus daripada keseluruhan kes penagihan, dengan negeri-negeri Pantai Timur dikenal pasti sebagai kawasan paling serius terjejas.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebanyak 145,526 kes melibatkan dadah jenis Amphetamine-Type Stimulants (ATS) direkodkan pada tahun 2023, meningkat kepada 192,857 kes pada 2024 sebelum mencatat 141,817 kes pada tahun 2025.
“Dadah sintetik yang paling banyak disalahgunakan di negara kita sehingga merangkumi kira-kira 70 peratus daripada keseluruhan kes penyalahgunaan dadah adalah dadah jenis ATS.
“Bila kumpulkan data, kemudian kita lakukan pemetaan, didapati keadaan paling serius adalah di negeri-negeri Pantai Timur. Sangat serius. Maknanya, di jalur Pantai Timur, penggunaan ganja, heroin, ketum dan morfin tidak lagi menjadi pilihan utama. Sebaliknya, mereka mencari ATS, syabu dan metamfetamin,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang meminta kementerian menyatakan jumlah kes penagihan dadah sintetik yang direkodkan sejak tahun 2023 sehingga kini serta strategi kerajaan menangani peningkatan penggunaan dadah sintetik.
Pada masa sama, Saifuddin turut mendedahkan pihak berkuasa mengesan kewujudan fentanyl ketika menjalankan operasi terhadap cecair vape, namun menegaskan penyalahgunaan bahan itu di negara ini masih belum berada pada tahap yang membimbangkan.
“Yang terbaru, apabila pihak polis menjalankan operasi terhadap cecair vape, mereka menemui satu lagi bahan yang dikenali sebagai fentanyl. Ini lebih parah. Kesannya puluhan kali ganda lebih teruk daripada morfin dan boleh menyebabkan kematian.
“Baiknya kerana pada tahun 2025 ketika kita meminda Akta Penagih Dadah, fentanyl sebagai bahan baharu telah dimasukkan ke dalam Jadual Akta Dadah Berbahaya. Apabila ia dimasukkan ke dalam jadual tersebut, tindakan penguatkuasaan boleh diambil apabila bahan itu ditemui,” katanya.
Menurut beliau, walaupun fentanyl telah dikesan di Malaysia, penyalahgunaannya masih belum mencapai tahap serius seperti di beberapa negara lain, namun kerajaan mengambil langkah awal dengan memperkukuh aspek perundangan bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan terhadap bahan berkenaan.
Tambahnya, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) akan terus memperhebat usaha pencegahan, penguatkuasaan serta rawatan dan pemulihan melalui pelbagai program melibatkan komuniti, institusi pendidikan dan tempat kerja bagi membendung peningkatan penyalahgunaan dadah sintetik di negara ini. – KOSMO! ONLINE














