LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta menganggap pemburuan trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) bermula secara rasmi selepas pasukan berjaya meraih kemenangan penting 2-1 ke atas seteru, Chelsea di Stadium Emirates awal pagi semalam.
The Gunners kembali melebarkan jurang lima mata di puncak liga, namun mereka sudah beraksi satu perlawanan lebih banyak berbanding pencabar terdekat, Manchester City di tangga kedua.
Menurut Arteta, tekanan untuk terus meraih kemenangan demi kemenangan semakin dirasai oleh pasukannya dan terbukti pada aksi kali ini apabila bergelut menentang The Blues yang beraksi dengan 10 pemain.
“Kami rasa pemburuan trofi EPL sudah bermula kerana pasukan perlu menang, menang dan terus menang. Ada ketika kita menang banyak perlawanan pun masih belum cukup untuk membuka jurang besar dan inilah cabaran EPL.
“Mengenai perlawanan kali ini, saya gembira dengan komitmen pemain walaupun kita sepatutnya menang dengan jurang yang besar jika memanfaatkan peluang terhidang babak pertama.
“Kemudian, kita dibolosi dengan mudah tetapi Chelsea ada pemain berkualiti Cole Palmer, Moises Caicedo dan Enzo Fernandez yang boleh mencipta peluang pada bila-bila masa,” katanya.
Dalam masa sama, Arteta turut memuji penjaga gol, David Raya yang menyelamatkan rembatan Alejandro Garnacho pada masa kecederaan sekali gus meranapkan impian lawan untuk mencuri mata berharga.
“Raya salah seorang pemimpin dalam pasukan ini. Jujur, jantung saya hampir terhenti melihat situasi itu, tetapi dia berjaya menepis bola itu daripada menerjah jaring,” kata Arteta. – AGENSI














