MANCHESTER – Pemilik bersama Manchester United, Sir Jim Ratcliffe dilaporkan bersedia memenuhi tuntutan gaji Elliot Anderson bagi membawanya ke Old Trafford.
Selepas berjaya memuktamadkan perpindahan pemain tengah bertahan Atalanta, Ederson Silva, United kini dilapor meneruskan usaha mereka untuk mendapatkan Anderson.
Ketika Casemiro dijangka meninggalkan kelab dan Manuel Ugarte juga berkemungkinan besar keluar dari Old Trafford, United mahu mendapatkan sekurang-kurangnya dua pemain tengah baharu pada jendela perpindahan musim panas ini.
Media di England sudah lama melaporkan minat United terhadap Anderson yang dikatakan tidak mungkin kekal bersama Nottingham Forest musim depan.
Anderson dianggap sebagai salah seorang pemain tengah terbaik dalam Liga Perdana Inggeris, dan United percaya beliau sangat sesuai untuk pasukan kendalian Michael Carrick, namun Manchester City turut bersaing untuk mendapatkan bekas pemain Newcastle United tersebut.
Laporan sebelum ini menyebut Anderson telah mencapai persetujuan prinsip mengenai syarat peribadi dengan City, tetapi United masih belum berputus asa apabila pemilik saham mereka, Sir Jim Ratcliffe sanggup memenuhi tuntutan gaji Anderson.
Menurut laporan tersebut, Ratcliffe bersedia menawarkan gaji sebanyak £150,000 seminggu kepada Anderson untuk memujuk pemain itu berhijrah ke Old Trafford.
“Gaji Anderson di Forest kini sekitar £100,000 seminggu dan beliau dijangka menerima kenaikan sebanyak 50 peratus tanpa mengira sama ada dia menyertai United atau City.
“Sir Jim Ratcliffe berhasrat mengurangkan kos operasi di United, namun pemilik bersama kelab itu bersedia memenuhi tuntutan gaji Anderson sekiranya bekas pemain Newcastle United tersebut memilih untuk menyertai United berbanding City,” menurut laporan itu. – AGENSI














