LIVERPOOL – Liverpool dilapor sudah mengenal pasti beberapa calon untuk mengisi kekosongan yang bakal ditinggalkan Ibrahima Konate selepas pertahanan Perancis itu dijangka meninggalkan Anfield susulan kegagalan mencapai persetujuan kontrak baharu.
Situasi tersebut memaksa pengendali baharu, Andoni Iraola menyusun pelan segera bagi memperkukuhkan benteng pertahanan menjelang musim baharu yang dijangka menyaksikan rombakan besar dalam skuad The Reds.
Antara nama yang terus menjadi perhatian ialah pertahanan Sporting Lisbon, Goncalo Inacio yang dianggap memiliki profil ideal untuk sistem permainan Iraola.
Pemain kidal berusia 24 tahun itu dilihat mampu membantu Liverpool membina serangan dari bawah selain menawarkan keseimbangan di bahagian pertahanan yang semakin memerlukan perancangan jangka panjang.
Selain Inacio, pertahanan Bologna, Sam Beukema turut berada dalam radar Liverpool meskipun pemain Belanda itu mungkin berada dalam senarai pendek berbanding sasaran utama kelab.
Dalam masa sama, nama pertahanan Nottingham Forest, Murillo semakin mendapat perhatian selepas pihak kelab meningkatkan usaha pemantauan terhadap pemain Brazil tersebut.
Pengalaman Murillo di Liga Perdana Inggeris (EPL) selain kemampuannya beraksi di bahagian kiri pertahanan menjadikan dia antara calon paling realistik untuk menggantikan peranan Konate dengan segera.
Liverpool difahamkan tidak mahu melakukan kesilapan dalam proses mencari pengganti selepas kehilangan Konate secara percuma dianggap satu tamparan besar buat pasukan yang sedang membina semula kekuatan di bawah kendalian Iraola. – AGENSI














