PETALING JAYA – Perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) didakwa mengalami gangguan lagi pagi tadi, selain turut berhenti secara mengejut sehingga mencemaskan penumpang ke tempat kerja di laluan Kelana Jaya hari ini.
Gangguan yang berlaku beberapa kali di bulan Ramadan itu masih belum berkesudahan walaupun sudah mendapat teguran Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.
Menerusi satu hantaran di media sosial seorang penumpang, gangguan perkhidmatan berlaku sekitar pukul 6.06 pagi tadi dan difahamkan kekerapan tren terjejas dengan masa menunggu yang lama.
Anis menasihatkan orang ramai supaya bersiap sedia lebih awal.
“Pantas bersiap guys (semua), LRT ada gangguan perkhidmatan,” katanya.
Dalam pada itu, terdapat pengguna yang mendakwa tren berhenti secara tiba-tiba hingga menyebabkan tangannya terseliuh.
Pengguna Kimlisasvt turut berkata, tren berhenti mengejut sehingga pintu terbuka sedikit semasa bergerak laju sampai boleh masuk angin kuat.
“Dah banyak kali kena, setiap kali terjadi mesti aku berdiri dekat pintu dan masa itu rasa Allah macam nak hilang nyawa,” kata Shafikaismai.
Tinjauan di ruangan komen mendapati tidak menerima sebarang makluman awal melalui aplikasi rasmi.
“Lepas ini perlu tengok update (kemas kini) dekat Thread je tentang LRT ni. Check (semak) dekat Myrapid tadi tak ada update apa-apa, “ kata pengguna Nancy_edison.
Sementara itu, RapidKL dalam kenyataan memaklumkan kekerapan tren Laluan Kelana Jaya pada waktu puncak pagi ini telah diselaraskan susulan beberapa tren dikeluarkan daripada perkhidmatan akibat isu teknikal. – KOSMO! ONLINE














