KOTA BHARU – Kes penyakit Tuberculosis atau tibi di seluruh negara mencatatkan perkembangan positif apabila tiada kluster baharu direkodkan.
Selain itu, jumlah kes pada Minggu Epidemiologi (ME) ketujuh tahun ini juga menurun sebanyak 65 kes berbanding tempoh sama pada tahun lalu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, sebanyak 417 kes dicatatkan pada minggu tersebut berbanding 482 kes bagi tempoh sama pada 2025.
Menururnya, perkembangan itu memberi petanda positif terhadap keberkesanan langkah kawalan dan pencegahan yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
“Setakat ini, tiada kluster baharu dilaporkan dan jumlah kes juga menurun. Kita harap penurunan kes tibi akan terus konsisten,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) – Majlis Iftar Perdana di Masjid Al-Husna, Baung Bayam di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Dr. Dzulkefly berkata, pihak ha tidak akan berkompromi dalam aspek pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan jangkitan dapat dikawal meskipun jumlah kes menurun.
Menurutnya, usaha untuk memperluas saringan awal dalam kalangan kumpulan berisiko dan meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan rawatan segera akan terus dijalankan. – KOSMO! ONLINE














