fbpx
AKMAL (dua dari kanan) menyampaikan barangan keperluan dapur di dalam Program Kempen Seorang Sekampit Beras (KSSB) Kali Ke-20 Tahun 2026 di Dewan Projek Perumahan Rakyat Rumah (PPRT) Sri Stulang , Johor Bahru hari ini. - Foto oleh BAZLAN IBRAHIM

Kerajaan teliti impak ekonomi susulan perang AS, Israel ke atas Iran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

 

JOHOR BAHRU – Kerajaan akan meneliti secara menyeluruh kesan ekonomi susulan ketegangan yang tercetus apabila Iran didakwa diserang oleh Israel dan Amerika Syarikat (AS) khususnya terhadap ekonomi Malaysia.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, kerajaan masih menunggu kenyataan rasmi berhubung perkembangan tersebut, termasuk pendirian yang akan dikeluarkan oleh Wisma Putra.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah mengeluarkan kenyataan awal menerusi laman sosial beliau berhubung situasi berkenaan.

Dari sudut ekonomi, katanya, terdapat beberapa perkara utama yang perlu diteliti termasuk hubungan langsung Malaysia dengan Iran serta kesan ketegangan geopolitik terhadap ekonomi global.

“Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, cabaran utama ekonomi pada tahun 2026 adalah faktor geopolitik. Namun, masih terlalu awal untuk membuat telahan mengenai sejauh mana gangguan tersebut akan menjejaskan ekosistem ekonomi dunia.

“Antara perkara yang akan dinilai ialah soal pengeluaran petroleum dan gas kerana Iran memainkan peranan penting dalam pengeluaran tenaga di peringkat rantau dan dunia,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Kempen Seorang Sekampit Beras di Dewan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Stulang, di sini hari ini.

Terdahulu, Anwar menggesa supaya dihentikan segera dan tanpa syarat segala permusuhan susulan serangan terbaharu Israel dan AS terhadap Iran, sambil memberi amaran ketegangan semakin memuncak boleh menjerumuskan Asia Barat ke ambang malapetaka.

Akmal Nasrullah yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, kerajaan juga akan meneliti kesan rantaian terhadap keseluruhan sistem ekonomi global.

Menurutnya, Malaysia tidak boleh mengambil mudah sebarang gangguan terhadap ekonomi dunia dan perlu terus memperkukuh daya tahan ekonomi domestik agar negara tidak terjejas sekiranya berlaku krisis antarabangsa.

Mengulas kemungkinan kenaikan harga minyak dan gas di pasaran dunia, beliau berkata, perkara itu bergantung kepada mekanisme pasaran serta keputusan pengeluar utama minyak.

“Pengeluar-pengeluar utama mempunyai mekanisme tertentu dalam menguruskan soal pengeluaran dan harga. Malaysia juga terlibat dalam beberapa mekanisme tersebut.

“Justeru, perkembangan itu akan menjadi antara panduan bagaimana pasaran global menguruskan isu pengeluaran dan harga minyak,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI