BURIRAM – Aksi pembuka tirai Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim 2026 tampil dengan penuh drama apabila pelumba sensasi Red Bull KTM Factory Racing, Pedro Acosta dinobatkan sebagai juara perlumbaan pecut Grand Prix (GP) Thailand selepas pencabarnya, Marc Marquez dikenakan penalti.
Kemenangan di Litar Antarabangsa Chang, Buriram itu menjadi milik Acosta selepas Marquez diarahkan turun satu kedudukan oleh FIM MotoGP Stewards insiden gerakan tidak sah ketika ingin memintas Acosta di selekoh terakhir perlumbaan.
Mengulas kemenangan tersebut, Acosta mengakui perasaannya bercampur baur memandangkan kejayaan itu hadir menerusi keputusan teknikal, namun tetap menyifatkannya sebagai permulaan positif buat pasukannya.
“Ia cara hebat untuk memulakan tahun ini dengan menentang Marc (Marquez). Mungkin saya tidak rasa seperti pemenang sebenar kerana dia (Marquez) membiarkan saya memotongnya (akibat penalti).
“Apa pun, kami ada peluang esok untuk memburu kemenangan. Pasukan Red Bull telah bekerja keras dan ini permulaan yang baik,” kata Acosta yang kini mengumpul 12 mata.
Sementara itu, Marquez enggan memanjangkan isu kontroversi tersebut dan menerima keputusan itu dengan hati terbuka, sambil menyifatkan kutipan mata kemenangan itu penting selepas baru pulih daripada kecederaan.
Jelas pelumba Sepanyol itu, dia cuba memperlahankan rentak perlumbaan untuk mengawal saingan daripada pelumba KTM, namun persaingan menjadi agresif apabila Acosta kerap memintasnya.
“Pada pendapat saya, biarlah stewards yang memutuskan, jadi saya hanya ikut peraturan. Saya cuba mengawal kelajuan perlumbaan dan setiap kali Pedro memotong, saya juga perlu melakukan tindakan yang sama dengan memotong kembali.
“Malangnya saya dikenakan penalti itu. Namun, sembilan mata untuk perlumbaan pertama selepas kecederaan, ia tidak buruk. Saya gembira,” jelas Marquez.
Sementara itu, Pengurus Pasukan Ducati Lenovo, Davide Tardozzi tampil mempertahankan pelumbanya dengan menegaskan Marquez langsung tidak menyentuh jentera Acosta semasa insiden tersebut.
“Marc (Marquez) tidak menyentuh Pedro, dia juga tidak terkeluar dari litar. Saya rasa hukuman ini tidak adil. Saya pasti Pedro juga akan melakukan perkara yang sama (jika berada di situasi Marc),” katanya kepada motogp.com. -KOSMO! ONLINE














