BATU PAHAT – Seorang bayi perempuan parah manakala ibu dan ayahnya cedera selepas kenderaan dinaiki terbabas dalam kejadian di Kilometer 19 Jalan Kluang – Batu Pahat berhampiran Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian pukul 2.40 pagi itu ketika keluarga terlibat dalam perjalanan daripada Batu Pahat ke arah Parit Raja.
Jelasnya, ketiga-tiga mangsa iaitu lelaki warga tempatan berusia 26 tahun, isterinya 41 tahun kini dirawat di Zon Kuning manakalan anak perempuan mereka berumur 10 bulan menerima rawatan di Zon Merah Hospital Sultanah Nora Ismali (HSNI).
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku adalah berpunca daripada kejadian salah satu tayar kenderaan dinaiki pecah seterusnya menyebabkan hilang kawalan dan terbabas.
“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,”katanya ketika dihubungi hari ini.
Sebelum itu, tular video berdurasi 53 saat itu, memperlihatkan orang ramai berlari di lokasi kejadian dalam keadaan sebuah kenderaan masih terbakar.
Dapat dilihat bayi berkenaan yang dipercayai tercampak beberapa meter dari kenderaan tersebut sedang dipangku pengguna jalan raya dalam keadaan menangis.- KOSMO! ONLINE














