fbpx
SEBAHAGIAN pendatang asing tanpa izin (PATI) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Teluk Intan atas pertuduhan memasuki dan berada dalam negara ini tanpa dokumen sah serta tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.

30 migran didakwa di mahkamah, 26 orang mengaku salah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TELUK INTAN – Seramai 26 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dan Bangladesh mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana memasuki dan berada di negara ini tanpa dokumen sah selain tinggal lebih masa.

Kesemua tertuduh yang berusia 18 hingga 55 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Naidatul Athirah Azman.

Mengikut pertuduhan, 18 warga Indonesia termasuk dua wanita didakwa mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) kerana berada di negara ini setelah tamat tempoh pas.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Pada prosiding itu, lapan tertuduh lain termasuk seorang lelaki Bangladesh didakwa atas pertuduhan memasuki dan berada di Malaysia tanpa dokumen perjalanan yang sah.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 6(1)(c) akta sama (Akta 155) (Pindaan 2002) yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya dan juga boleh dikenakan enam sebatan.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di kebun kelapa sawit Sungai Payung, Selekoh di Bagan Datuk pada pukul 6.15 petang, 13 Februari lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Darwis Aghniya Halim Azizi. Mahkamah menetapkan 18 tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 15(1)(c) dipenjara lima bulan bermula dari tarikh tangkapan.

Bagi lapan warga asing yang dituduh di bawah Seksyen 6(1)(c), mereka dihukum penjara empat bulan bermula dari tarikh tangkapan serta  satu sebatan.

Sementara itu, di mahkamah sama, empat warga Indonesia termasuk seorang wanita yang diperakukan imigran larangan didakwa tinggal di negara ini tanpa sebab yang munasabah di lokasi, tarikh dan masa sama.

Keempat-empat tertuduh yang tidak mengaku bersalah itu didakwa di bawah Seksyen 15(1)(b) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya. Mahkamah menetapkan 1 April ini untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN