TAMPIN – Kehilangan penjual penyapu lidi yang juga orang kurang upaya (OKU) fizikal sejak semalam terjawab apabila mayatnya dijumpai dalam Sungai Geduk, di Gemencheh, di sini, pagi tadi.
Seorang penduduk, Raja Amirul Naim Raja Abdul Rahman, 20, berkata, mangsa, Mino Salimin, 62, disedari tidak pulang ke rumahnya pada pagi tadi sejak keluar mencari lidi pukul 3 petang semalam.
“Disebabkan tempoh kehilangan mangsa tidak sampai 24 jam, maka penduduk bersepakat untuk mencari Mino. Salah seorang penduduk, Ramlan yang juga pesara polis kemudian menemukan kesan pelepah sawit pada pukul 11 pagi.
“Kasut dan parang milik mangsa pula dijumpai di tebing sungai. Mangsa kerap mengambil pelepah sawit untuk dijadikan penyapu lidi.
“Jadi, penduduk menyusuri sungai ini sejauh 100 meter sebelum menemukan mayat Mino yang tersangkut berhampiran tebing sungai,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Geduk, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, isteri mangsa, Hazlynda Abu Talib, 49, memberitahu, dia dan dua anak lelakinya berusia 13 dan 17 tahun menunggu mangsa pulang untuk berbuka puasa semalam, namun hampa apabila lelaki tersebut tidak pulang hingga ke pagi. – KOSMO! ONLINE














