PROSIDING kes pemalsuan dokumen melibatkan tujuh pemain warisan negara, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) yang berakhir malam ini dijangka sedikit ‘panas’.
Peguam sukan dan komersial tanah air, Hairul Vaiyron Othman memberi gambaran suasana di CAS pastinya berlangsung dalam keadaan ‘tegang’ kerana semua pihak yang terbabit pasti akan menyentuh beberapa fakta kes untuk pertahankan diri masing-masing.

Menurut Hairul, suasana di CAS sangat berbeza dan FAM selaku badan induk perlukan strategi terbaik kerana panel penghakiman di CAS sangat tegas dan tiada kompromi
“Kemungkinan akan sedikit panas sebab isu akan menyentuh fakta-fakta kes mengenai tuduhan pemalsuan dokumen dan kedaulatan negara (untuk) meluluskan proses naturalisasi.
“Masing-masing akan pertahankan pernyataan kes dan itu belum masuk lagi kenyataan saksi-saksi yang akan beri keterangan pada masa tersebut.
“Strategi terbaik untuk FAM memastikan keputusan memihak kepada mereka dan pemain adalah cuba untuk nyatakan proses (memberi kerakyatan) dibuat macam biasa dan tiada pelanggaran prosedur.
“Cuma, mungkin terkhilaf oleh perlakuan pihak ketiga tetapi, semua yang dilakukan adalah secara telus dan tiada niat penipuan,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Hairul yang pernah mewakili Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) dalam prosiding CAS melibatkan pemain import sebelum ini mengakui hukuman lebih berat boleh menanti FAM dan tonggak warisan Harimau Malaya jika keputusan sebaliknya diterima nanti.
“Jika kita gagal dalam rayuan, pelaksanaan hukuman asal akan diteruskan dan kemungkinan hukuman bakal diperluaskan ke pertandingan yang disertai oleh semua pemain terbabit,” katanya.
Jika menang proses rayuan, tujuh pemain terbabit dijangka terlepas daripada hukuman penggantungan 12 bulan yang dikenakan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sebelum ini.
Bagaimanapun, hukuman tersebut akan kembali diaktifkan jika gagal selepas diberi ‘talian hayat’ hampir sebulan oleh CAS yang membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman atau Stay of Execution pada, Januari lalu.














