MADRID – Jurulatih Atletico Madrid, Diego Simeone teruja menyaksikan anak-anak buahnya menutup mulut pengkritik dengan menewaskan Club Brugge 4-1 untuk mara dengan agregat 7-4 pada aksi playoff Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi tadi.
Pada perlawanan itu, skuad Los Rojiblancos mempamerkan aksi dalam kelas tersendiri apabila meraih gol menerusi hatrik Alexander Sorloth dan satu jaringan Johnny Cardoso untuk mara ke pusingan 16 terbaik.
Menurut Simeone, keputusan untuk meletakkan Sorloth dalam kesebelasan utama dibalas sebaiknya oleh penyerang antarabangsa Norway itu selepas disisihkan pada aksi pertama minggu lalu.
“Saya sangat percaya kepada pemain-pemain saya kerana mereka sangat bagus. Sorloth ada sesuatu yang pemain lain tidak ada dan kali ini dia beraksi pada tahap tertinggi seperti yang kami perlukan.
“Apabila anda ada pemain seperti Sorloth yang memiliki fizikal hebat dan mampu tarik pasukan ke hadapan ketika kami buntu mencari ruang hantaran, ia sangat membantu. Saya harap dia dapat kekal konsisten,” katanya. – AGENSI














