LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta menganggap aksi final Liga Juara-Juara (UCL) menentang Paris Saint-Germain (PSG) sebagai ‘klimaks’ kebangkitan buat pasukan sejak dilantik membimbing The Gunners tujuh tahun lalu.
Menurut Arteta, misi Arsenal pada musim ini belum selesai sepenuhnya walaupun menghadiahkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) pertama buat Arsenal sejak 2004 untuk membuktikan projek jangka panjang yang dilakukan sudah berjaya.
Arteta berkata, peluang melengkapkan musim paling gemilang dalam sejarah Arsenal sekiranya berjaya membawa pulang trofi UCL tidak boleh dilepaskan begitu sahaja.
“Kami sudah menetapkan standard baharu dan sekarang kami perlu pergi ke tahap seterusnya. Ini adalah peluang yang luar biasa untuk menulis sejarah baharu buat kelab ini,” katanya lagi.
Dalam masa yang sama, Arteta mengakui sudah ada perancangan taktikal terbaik untuk mengekang pasukan PSG dengan memberi bayangan Martin Zubimendi bakal mengemudi jentera tengah pada aksi di Budapest nanti.
Kata Arteta, keputusan merehatkan Zubimendi dalam beberapa perlawanan terakhir Arsenal adalah keputusan yang tepat selepas pemain antarabangsa Sepanyol itu dikritik kerana gagal mempamerkan aksi yang konsisten.
“Saya boleh beri seribu contoh pemain yang gagal menyerlah pada musim pertama di EPL, tetapi Zubimendi sudah melalui musim yang sangat baik.
“Ada beberapa perlawanan memerlukan pendekatan berbeza dan kami mahu memberinya sedikit ruang serta tenaga tambahan untuk final ini,” katanya.
Sementara itu, tonggak The Gunners, Mikel Merino mengakui PSG merupakan lawan yang sangat hebat, namun yakin Arsenal memiliki kualiti untuk menamatkan penantian panjang menjulang trofi paling berprestij Eropah itu.
“Kami tahu ia akan menjadi perlawanan yang sangat sukar. PSG adalah pasukan luar biasa, tetapi kami juga begitu.
“Saya percaya ia akan menjadi aksi sengit tetapi kami harap trofi itu menjadi milik kami,” katanya.
Pencapaian terbaik skuad The Gunners dalam UCL adalah bergelar naib juara edisi 2006 selepas tewas 1-2 kepada Barcelona di pentas final. – AGENSI














