MANILA – Seorang lelaki menerima kecaman pengguna media sosial selepas dia dirakam membaling seekor kucing dari atas jambatan, lapor portal berita Must Share News.
Kejadian berlaku di Indang, Cavite, Filipina, baru-baru ini.
Rakaman video kejadian yang dikongsi di media sosial menunjukkan lelaki terbabit mengangkat seekor kucing berwarna putih sebelum membalingnya ke tepi jambatan.
Kucing itu melanggar sebahagian struktur jambatan sebelum mendarat di kawasan berumput. Kejatuhan tersebut menyebabkan ia tidak bergerak.
Organisasi kebajikan haiwan bukan kerajaan, Human Philippines mengesahkan bahawa kucing berkenaan telah diselamatkan dan dibawa ke klinik veterinar.
“Kucing itu trauma. Saya menyangka ia mengalami cedera parah tetapi doktor haiwan berkata ia baik-baik sahaja,” kata Presiden Human Philippines, Tirzah Lim.
Suspek dikenali pasti sebagai pelajar kolej, dengan Datuk Bandar Indang menyifatkan pelaku bukan di bawah umur.
Menurut suspek, dia membuang kucing tersebut dari jambatan kerana menyangka ia telah mati selepas dilanggar oleh sebuah kenderaan.
Dia meminta maaf atas kesilapannya dan bersedia untuk menghadapi pertuduhan terhadapnya. – AGENSI














