GEORGE TOWN – Radang paru-paru atau pneumonia dikenal pasti sebagai punca kematian seorang wanita tempatan yang ditemui dalam sebuah kereta di tapak parkir sebuah stesen minyak di Jalan Paya Terubong, Ayer Itam di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, keputusan berkenaan diperoleh hasil bedah siasat yang dijalankan terhadap mayat wanita berusia 37 tahun itu di Hospital Pulau Pinang (HPP).
“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan radang paru-paru (pneumonia).
“Hasil siasatan pihak polis mendapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. Satu laporan mati mengejut (LLM) dibukan bagi siasatan lanjut,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, sebelum itu pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) Timur Laut menerima maklumat daripada orang awam mengenai seorang wanita yang ditemui tidak sedarkan diri dalam sebuah kereta di tapak parkir stesen minyak terbabit.
“Kereta si mati berkunci daripada dalam dan berjaya dibuka dengan bantuan pihak bomba.
“Si mati yang juga berasal dari kawasan sama disahkan meninggal dunia oleh petugas ambulans,” katanya. -KOSMO! ONLINE














