KUALA LUMPUR – Tindakan seorang lelaki yang berang dipercayai akibat isu parkir membawa padah apabila dia ditahan selepas melibas pisau hingga mencederakan seorang penghuni Flat Seri Melaka, di sini.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pihaknya mengesahkan menerima satu laporan daripada seorang lelaki pada Jumaat lalu berhubung kejadian mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.
Beliau berkata, suspek lelaki tempatan berusia lewat 20-an ditahan semalam dipercayai telah menakut-nakutkan penghuni flat berkenaan dengan membawa sebilah pisau.
“Motif kejadian dipercayai berpunca daripada ketidakpuasan hati suspek berhubung isu parkir di kawasan berkenaan.
“Pengadu yang cuba menenangkan suspek bagaimanapun telah dilibas menggunakan pisau dan mengalami kecederaan luka di tangan kiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, suspek mempunyai 10 rekod lampau namun ujian saringan air kencing yang dijalankan adalah negatif daripada sebarang jenis dadah.
Katanya, mangsa menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Ampang dan mengalami luka dianggarkan kira-kira tiga sentimeter.
Susulan itu, suspek direman selama empat hari bermula semalam hingga 24 Februari 2026 bagi membantu siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE














