Berkemundang di mana-mana platform digital dan media elektronik, Ella Furniture menjadi ingatan masyarakat, apatah lagi iklan promosinya menggunakan selebriti AC Mizal mempromosikan sofa anti cakar (kucing) dan juga mudah dibersihkan, berjaya mengukuhkan jenama tersebut.
Hanya bermula dari sebuah kilang kecil di negeri Selangor, Pengasasnya, Nur Laila Alway berjaya membuktikan keupayaan minat dan hasratnya untuk menguasai pasaran perabot premium dan berkualiti tinggi.
Empayarnya kini berdiri kukuh dengan memiliki lima cawangan di beberapa lokasi strategik termasuk di Johor Bahru dan Sungai Petani mahu mengembangkan lagi penguasaan pasarannya malah menyasarkan jualan sehingga RM40 juta pada tahun ini.
“Ini adalah perniagaan yang ‘profitable’ untuk jangka masa panjang kerana pada awalnya saya berdepan dengan kesukaran untuk menembusinya dulu. Saya memiliki hampir 100 pekerja dan kami lakukan semuanya daripada A sampai Z. Saya hanya fokuskan pengeluaran domestik dan banyak peluang yang datang kini.
“Tidak lama lagi, kami akan perkenalkan pula segmen pembuatan kabinet dapur pasang siap, masih berkonsep premium, lebih kemas dan cantik tetapi ia pastinya akan menawarkan satu pilihan terbaik kepada pelanggan” katanya pada majlis pembukaan cawangan terbaharunya di Bandar Seri Putra, Kajang baru-baru ini.

Kosmo!: Boleh jelaskan tentang perkembangan terbaharu Ella Furniture?
Nur Laila Alway: Kami memiliki lima cawangan iaitu di Bukit Jelutong, Shah Alam; Kota Bharu, Sungai Petani, Johor Baharu dan yang terbaharu adalah di Bandar Seri Putra, Kajang.
Kami ada kilang pembuatan perabot sendiri tetapi ia hanya untuk pengeluaran perabot berkonsep premium.
Daripada bahagian ‘pocket spring’, fabrik perabot dan juga kayu yang digunakan adalah jenis meranti.
Untuk material dan fabrik perabot, kami akan keluarkan koleksi terbaharu setiap enam bulan termasuk juga dengan tawaran warna-warna fabrik yang menarik dan terkini.
Apabila fokus syarikat kepada pasaran perabot premium, bagaimana pula trend permintaan dan jualannya?
Ya, agak sukar tetapi saya percaya pasaran ini begitu luas dan ia memiliki kumpulan pelanggannya yang tersendiri yang meminati perabot premium.
Ada juga mereka yang kurang berkemampuan tetapi mereka berazam kumpul duit sikit-sikit sehingga berjaya memiliki perabot yang mereka idamkan. Jadi permintaan untuk segmen ini masih ada dan berpotensi.
Ada orang bertanya pada saya, kenapa tak keluarkan perabot yang murah sebab mudah untuk dijual tetapi jawapan saya adalah, terlalu banyak perabot berharga murah di pasaran, persaingan sukar jadi lebih baik saya fokuskan kepada sesuatu produk yang ada nilai tambah dan berbaloi kepada pelanggan untuk memilikinya malah perabot keluaran syarikat boleh bertahan sehingga lapan hingga 10 tahun, dan terdapat perkhidmatan untuk pembaikan dan menukar fabrik yang luntur dan bermasalah.

Bagaimana pula dengan konsep sofa yang tahan daripada cakaran kucing?
Ya, Ella Furniture adalah satu-satunya syarikat pertama yang menjual sofa anti cakar kucing yang mana kami telah bekerjasama dengan pembekal dan membuat kajian dan pembangunan yang teliti untuk menghasilkan inovatif ini.
Selalunya, pelanggan selalu mengadu mereka terpaksa menukar sofa kerana ada kucing dirumah. Kini masalah mereka dapat diselesaikan dan mereka berpuas hati dengan apa yang kami tawarkan kerana sofa kami adalah mesra kucing, malah kini pelanggan boleh membersihkan sofa dengan mudah juga.
Berapa cawangan baharu akan dibuka pada tahun ini atau masa depan?
Kami memang bercadang untuk membuka lebih banyak cawangan, kita sudah kenal pasti lokasi mungkin di Ipoh, Kuala Terengganu, Kuantan dan Melaka.
Jadi mungkin akan ada empat lagi cawangan baharu yang mana modal pengembangan ini ditanggung daripada dana dalaman syarikat sendiri.
Setiap outlet pelaburannya berbeza mengikut pelbagai faktor dan lokasi, jadi lebih kurang dalam RM400,000 untuk kos pembukaan sebuah cawangan baharu.
Melihat kepada pertambahan cawangan dan momentum syarikat yang bergerak agak pantas, adakah ia bersesuaian dengan kos yang ditanggung dan juga hasil jualan yang diperoleh?
Sebelum ini saya memfokuskan kepada usaha untuk tambah baik dan pertingkatkan pengeluaran di kilang dan juga sebuah galeri jualan, jadi saya telah besarkan saiz dan kapasiti kilang hinggakan kami memiliki dua galeri jualan yang boleh bergerak ke hadapan untuk mempromosikan perabot.
Jika saya tidak tambah kapasiti kilang, nanti akan jadi masalah dalam urusan pengeluaran dan pastinya pelanggan akan marah.
Jadi ini adalah masa yang terbaik untuk kami bergerak terus ke hadapan, lebih aktif mempromosikan perabot, produk dan perkhidmatan sekali gus mengukuhkan jenama Ella Furniture.
Untuk menjawab soalan tersebut, ya, segala pelaburan untuk pengembangan perniagaan kini selari dengan hasil jualan yang diperoleh, malah sasaran yang ditetapkan juga telah dicapai kini. Jadi bila syarikat akan ada 10 cawangan masa depan, pastinya kapasiti kilang kami akan dapat digunakan dengan sepenuhnya.

Bagaimana puan mengekalkan daya saing dan berdiri kukuh dalam industri perabot masa kini?
Saya bermula dengan sebuah kilang yang kecil dan sebagai pengeluar perabot bumiputera, agak sukar untuk menembusi pasaran semasa.
Saya lihat orang Melayu begitu ramai suka menghias rumah, beli perabot baharu dan suka buat pengubahsuaian rumah.
Jadi saya ambil peluang untuk mencuba meneroka bidang ini. Saya dulu asalnya bukan peniaga perabot, latar belakang pendidikan saya juga berbeza, tetapi kerana minat saya bina kilang sebagai permulaan dan sedikit demi sedikit saya mendapat kepercayaan daripada pelanggan.
Mereka lebih yakin bila melihat saya ada kilang sendiri, pelanggan mula sokong dan dalam masa yang sama, saya juga perlu war-warkan dan buat promosi untuk meningkatkan pengetahuan semua tentang perabot yang dihasilkan.
Saya maklumkan kepada pelanggan bahawa perabot kami premium dan berkualiti tinggi. Jadi hebahan promosi itu berjaya dikongsi bersama secara mulut ke mulut.
Sebab itu, atas dasar keyakinan yang diteruskan itu, ada pelanggan yang datang ke outlet Ella Furniture, sudah saya kenali mereka sejak empat, hingga lima tahun lalu.
Mereka setia bersama kami. Sebab itu saya sentiasa ingatkan jurujual kami, agar layan pelanggan yang melangkah masuk ke galeri jualan dengan sebaiknya, meskipun mereka tiada duit nak membeli sofa pada masa sekarang, tetapi mereka akan kembali berkunjung untuk membeli, ada juga yang berjaya menyakinkan saudara mereka untuk datang membeli di Ella Furniture.
Itupun sudah jadi satu kepuasan buat mereka, bagi saya kami sangat-sangat hargai kesetiaan dan kebaikan pelanggan yang menyokong kami. -KOSMO! ONLINE














