PETALING JAYA – Cef selebriti, Prof. Datuk Zamzani Abdul Wahab tampil membuat permohonan maaf susulan kenyataannya mengenai kelonggaran pekerja pulang awal menyinggung pihak lain.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Cef Zam berkata, kenyataan tersebut dibuat tanpa niat untuk memperkecilkan mana-mana pihak.
“Saya ingin jelaskan di sini bahawa saya tersilap pilih perkataan. ‘Menggelitis’ yang saya taipkan itu sepatutnya ‘bergegas atau tergesa-gesa’. Bab ‘masak untuk katering’ itu saya maksudkan sebagai berjenaka.
“Tidak terlintas di hati saya memperkecilkan kepayahan anda semua berkejar pulang untuk persiapan yang pelbagai. Saya mohon ampun maaf di atas segala kekhilafan,” katanya menerusi hantara di Thread hari ini.
Terdahulu, Zamzani menerima kecaman selepas memuat naik hantaran di media sosial berhubung pekerja pulang lebih awal ketika bulan Ramadan.
“Waktu berbuka pukul 7.29 malam. Yang kau menggeletis nak balik dari tempat kerja pukul 4.30 pm itu apa pasal pula. Mahu memasak untuk kateringkah?” ujarnya.
Dalam pada itu, Zamzani sekali lagi memohon maaf di atas kesilapannya dan tidak pernah terfikir bahawa perkataan ‘menggeletis’ itu membawa makna yang buruk.
“Kita manusia ni..tua, muda, waima kedudukan apa pun, tak akan terlepas dari berbuat silap. Namanya pun manusia. Dari situ kita belajar untuk menjadi lebih baik. Saya terima setiap kecaman anda dan berdoa agar anda semua dijauhi dari berbuat silap,” katanya. – KOSMO! ONLINE














