PUTRAJAYA- Jenazah bekas Ketua Hakim Negara, Allahyarham Abdul Hamid Mohamad selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20, di sini pada pukul 5.50 petang tadi.
Jenazah sebelum itu disembahyangkan di Musolla Taman Selatan Presint 20 selepas waktu Asar dengan diimamkan Imam Masjid Mahmoodiah Presint 18, Rafuwan Putra Affendi dan disertai kira-kira 200 jemaah.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut hadir meluangkan masa bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Abdul Hamid.
Anwar tiba kira-kira pukul 4.50 petang tadi selain turut meluangkan masa menunaikan solat Asar yang diimamkan peguam, Datuk Zulkifli Noordin
Allahyarham meninggal dunia pada usia 84 tahun di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia tengah hari tadi.
Abdul Hamid dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 1 Mei 1990, Hakim Mahkamah Tinggi pada 1992, Hakim Mahkamah Rayuan pada 1 September 2000 dan Hakim Mahkamah Persekutuan pada 1 Ogos 2003.
Beliau kemudian dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada Disember 2007 hingga Oktober 2008. – KOSMO! ONLINE














