SAYA menyertai Group Ghombau Anglers untuk trip ke Pak Bara kali ini dan kami menggunakan sekali lagi khidmat bot Pak Lah atau Abdullah Pian Sakul.
Selepas memunggah segala barangan ke dalam bot, saya perhatikan ada penambahbaikan pada bot. Pak Lah telah memasang sistem elektrik berpusat, bermakna kepada sesiapa yang membawa
set pancing elektrik tidak perlu membawa bateri kereta yang besar dan berat, cucuk sahaja palam ke suis yang tersedia di birai bot.
Pukul 2.30 petang baharulah bot bergerak meninggalkan jeti dan seperti biasa, kami akan berhenti sebentar dalam perjalanan untuk mengambil umpan sotong hidup.
Perjalanan bersambung semula sehinggalah kami tiba di destinasi pertama pada pukul 8 malam. Semua sudah tidak sabar untuk melabuhkan umpan dan saya membuka salam perkenalan trip dengan seekor jenahak.
Selepas itu rakan-rakan lain menuruti dengan ikan gerut-
gerut dan jenahak lagi dengan saiz terbesar dari Ismail seberat 3.5 kilogram (kg). Malam pertama ini nampaknya kutipan hasil ikan pancingan kami agak menjadi dan ini ditutupi oleh ketua kumpulan, Tok Mi dengan seekor lagi jenahak dan selepas itu keadaan menjadi sunyi sepi, berkemungkinan arus telah menolak bot tersasar dari lubuk ikan.

Koh Hin Daeng
Pukul 7 pagi tekong mengubah lokasi dalam tempoh dua jam perjalanan. Kami tiba berhampiran perairan Koh Hin Daeng pada
pukul 9 pagi. Dari jauh sudah kelihatan pulau tersebut tetapi perlu dua jam lagi untuk sampai ke sana.
Koh Hin Daeng ini merupakan Taman Laut Thailand, jadi ia ialah kawasan larangan memancing. Namun, kami masih lagi di tempat yang terkeluar dari zon tersebut.
Kami berhenti di beberapa lubuk dan setiap darinya menghasilkan tangkapan ikan berupa jenahak, kerapu, ebek, sagai dan sebagainya.
Puas bertukar-tukar lubuk, tekong membuat keputusan untuk pergi ke satu lubuk istimewa untuk malam nanti. Menurutnya, lokasi yang dia tujui merupakan kawasan yang banyak kenangan manis baginya. Ini berikutan sudah banyak ikan kerapu saiz monster atau ramai pemancing gelarkan boron telah dia pancing di sana.
Jadi dia sarankan supaya bot berlabuh di lokasi tersebut kerana kebarangkalian untuk mendapat-
kan boron itu besar. Umpan kami juga masih banyak lagi dan semua orang teingin hendak mendapatkan ikan saiz gergasi sebagai rekod peribadi.
Kami sampai ke lokasi dalam pukul 9 malam setelah me-
nempuh keadaan laut yang sedikit kucah, jadi ramai yang dapat ‘mabuk percuma’. Malam itu kami memancing secara santai sahaja, Ishan berjaya mendapat seekor kerapu sebagai pengubat duka lara.
Pendatang baharu dalam arena pancingan laut dalam kali ini iaitu Mizi menjadi tumpuan kerana umpan dia sentiasa mendapat henjutan ikan dengan beberapa ekor ebek, cermin dan kerapu.
Dia kena satu henjutan yang kasar, pertarungan yang berlanjutan itu menimbulkan ikan pari ke permukaan air, malangnya tali perambut bergeser dengan bawah bot menyebabkan ia terputus.

Banyak juga hasil yang kami perolehi di lubuk ini termasuklah ikan gerut-gerut, kaci, ketambak, cermin, ebek dan pelbagai jenis kerapu.
Si ‘pencukai’ tidak bertauliah, iaitu ikan alu-alu turut mengganggu sesi pancingan, kira-kira 10 ekor ikan
ini kami naikkan walaupun terpaksa kerap menukar perambut yang diputuskan oleh gengnya.
Boron
Malam semakin lewat, tekong menyarankan kami menukar tali perambut ke lebih kasar lagi iaitu 80 paun (lb) dengan batu ladung yang lebih berat supaya umpan betul-betul dapat berada rapat di dasar.
Tidak beberapa lama selepas melabuhkan umpan seekor sotong hidup, joran saya melendut padu. Lebih kurang 10 minit kemudian seekor boron berjaya saya pam ke atas sehingga ia terapung dengan pelampung badannya terkeluar dari mulut.
Kerja menarik ikan tersebut ke birai bot menjadi mudah kerana ia telah tiada upaya membenam kembali ke dasar.
Melepasi tengah malam keadaan menjadi sunyi dan masing-masing merehatkan diri tidur kerana kepenatan menarik ikan seharian.
Awal pagi apabila semua orang bangun, tekong dan pembantunya telah mendapat empat bakul penuh ikan cencaru kuda hasil melayan apollo semalaman. Sikap tekong yang saya puji, dia tidak mengambil walau seekor pun ikan cencaru yang dipancing, semua dibahagikan kepada kami.
Menjelang pagi, bot bergerak pulang ke jeti dengan hasil ikan yang lumayan. Pastinya kami akan bertandang lagi ke sini kerana perairan ini sememangnya tidak menghampakan.














