PETALING JAYA – Seramai 11 pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dilaporkan selamat tiba di Osaka bagi menggalas amanah sebagai imam solat tarawih di beberapa buah masjid sepanjang bulan Ramadan.
Perkembangan itu dimaklumkan menerusi hantaran salah seorang pelajar di akaun Thread @HanifZakaria01 sekali gus mengundang perhatian ramai yang teruja melihat usaha anak muda Malaysia menyebarkan syiar Islam di luar negara.
Menurut perkongsian berkenaan, kesemua pelajar terbabit akan bertugas di enam buah masjid berbeza sekitar Osaka sepanjang Ramadan ini.
“Alhamdulillah kami akan bertugas di enam buah masjid yang berbeza sekitar Osaka. Doakan kami dapat bertugas dengan baik, diberikan kesihatan yang baik, pergi dan balik dengan selamat dan dapat bawa nama baik universiti dan Malaysia,” katanya.
Katanya, peluang bermusafir sejauh itu dianggap sebagai rezeki dan barakah hasil mendampingi al-Quran, sekali gus membuka jalan untuk berkhidmat sebagai imam tarawih di luar negara.

“Alhamdulillah ini semua berkat al-Quran, kami menumpang barokah al-Quran sehingga dapat musafir sejauh ini semata-mata untuk jadi imam tarawih,” ujarnya.
Pelajar itu turut mengajak masyarakat setempat yang berada berdekatan Osaka untuk hadir ke masjid-masjid berkenaan, seperti yang dipaparkan menerusi poster tugasan.
Difahamkan, kumpulan pelajar itu dijadualkan pulang ke Malaysia pada hari raya kelima.
“Kalau ikutkan masyuk, Malaysia lebih masyuk berdasarkan pengalaman saya. Tapi yang mahal nya ialah pengalaman, pengalaman jadi imam tarawih di luar negara tak boleh dibayar dengan wang ringgit.
“Alhamdulillah setakat ni ada masjid yang kami akan jadi imam akan khatam dalam
tarawih, sebab dekat sini dah setiap tahun akan khatam. Dah jadi amalan di sini. Doakan kami ya,” katanya.
Tinjauan di ruangan komen mendapati ramai yang mendoakan agar semua urusan pelajar berkenaan dipermudahkan sekali gus mengharumkan nama Malaysia.
“Selamat jalan semua. Semoga dipermudahkan segala urusan. Jaga diri dan jaga kesihatan,” komen Dr.Nfi.
“Masha Allah bangganya! Walaupun tak kenal tapi rezeki jadi imam dekat sana,” komen Iezzatul.
“Sepatutnya masuk Malaysian Book of Records ni. Tahniah! Semoga dapat terus menggalas amanah dan tanggungjawab dengan baik,” komen Siti pula. – KOSMO! ONLINE














