PETALING JAYA – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh agenda kesihatan dan kesejahteraan warga kampus apabila melancarkan Kad Keahlian Star Wellness Hub UPSI, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah hari ini.
Naib Canselor, Prof Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, pelaksanaan kad keahlian merupakan antara usaha strategik universiti dalam memperkukuh budaya hidup sihat dalam kalangan warga kampus dan komuniti setempat.
Katanya, Star Wellness Hub berperanan sebagai pemangkin utama dalam menyokong hasrat universiti untuk melahirkan komuniti kampus yang lebih sihat, aktif dan produktif.
“UPSI komited untuk memastikan agenda kampus sihat terus diperkasa melalui pendekatan bersepadu bukan sahaja memberi tumpuan kepada kecergasan fizikal, tetapi merangkumi kesejahteraan mental dan sosial warga universiti,” katanya selepas majlis pelancaran yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Majlis Daerah Tanjong Malim, Dr. Shazree Idzham Wahab Abdul Rahman.
Sementara itu, Dekan Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan, Profesor Madya Dr. Jaffry Zakaria berkata, pelancaran kad keahlian tersebut merupakan kesinambungan kepada pembangunan Star Wellness Hub sebagai pusat sehenti kesejahteraan di UPSI.
Beliau berkata, Star Wellness Hub yang dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan pada 22 Januari 2025 menyediakan pelbagai kemudahan termasuk Mini Hyrox, Spin Bike, Mini Café, Aerobic Dance dan terapi urutan untuk manfaat warga kampus serta komuniti setempat. – KOSMO! ONLINE














