Seramai lapan orang peserta menyertai trip khas Sea Quipment membeli-belah barangan pancing ini. Sepanjang enam hari di sini, fokus utama kami adalah menjelajah pelbagai kedai pancing terkenal di sekitar Osaka, Jepun.
Lokasi ini dipilih kerana Osaka cukup terkenal dalam kalangan kaki pancing dengan kewujudan pelbagai kedai pancing lengkap, merangkumi produk baharu sehinggalah barangan terpakai yang masih berada dalam keadaan sangat baik.
Antara lokasi yang dianggap wajib dikunjungi oleh pemancing di sini adalah Tackle Berry iaitu rangkaian kedai pancing terpakai terbesar di Jepun. Ia boleh dianggap sebagai ‘syurga’ membeli-belah kerana pelanggan berpeluang mendapatkan joran, kekili, gewang dan aksesori eksklusif dalam keadaan berkualiti tinggi dengan harga lebih murah.
Persiapan
Sebelum berangkat ke Osaka, saya terlebih dahulu melakukan kajian terperinci mengenai kedai-kedai pancing yang terdapat di sekitar bandar tersebut, terutamanya Tackle Berry.
Semua produk pancing termasuk joran, kekili gewang dan aksesori kategori premium akan saya selidik terlebih dahulu berkenaan stok yang sedia ada, kualitinya, termasuk bandingan harga di pasaran semasa.
Selain itu, saya meneliti lokasi setiap cawangan Tackle Berry yang strategik di Osaka, termasuk membaca ulasan dan pengalaman pemancing dari Jepun serta luar negara.
Maklumat ini amat penting bagi memastikan perjalanan lebih efisien, sekali gus mengelakkan masa terbuang ke lokasi kurang sesuai atau tidak memenuhi keperluan kami.
Selain Tackle Berry, kami turut mengambil peluang mengunjungi beberapa kedai pancing lain yang menjual barangan baharu dengan tawaran potongan harga menarik sehingga 30 peratus.
Perjalanan
Perjalanan bermula dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur menuju ke Jepun yang mengambil masa kira-kira lapan jam. Setibanya di sana, kami terlebih dahulu menyelesaikan beberapa perkara penting seperti urusan kereta sewa dan tempat penginapan.
Menyewa kereta merupakan alternatif terbaik kerana kebanyakan kedai pancing terletak agak jauh dari akses pengangkutan awam.
Selain lebih fleksibel, ia juga memudahkan pergerakan kami untuk singgah ke lebih banyak lokasi dalam tempoh singkat.
Selesai urusan sewa kereta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai, kami terus bergerak menuju ke inap desa. Setelah selesai proses daftar masuk dan menyimpan bagasi, bermulalah pengembaraan yang paling dinantikan iaitu menjelajah kedai-kedai pancing terkenal di sekitar Osaka.
Destinasi pertama kami adalah kedai Tackle Berry di Central Osaka, Nara dan Kyoto. Apa yang menarik perhatian adalah suasana kedai sangat kemas dan tersusun rapi.

Walaupun majoriti barangan yang dijual merupakan barangan terpakai, namun keadaannya masih kelihatan berkualiti serta dijaga dengan baik.
Setiap peralatan memancing disusun secara sistematik mengikut kategori, sekali gus memudahkan pelanggan mencari barangan diinginkan. Malah, terdapat pelbagai pilihan joran, kekili, gewang dan aksesori memancing daripada jenama terkenal yang dijual pada harga lebih berpatutan berbanding barangan baharu.
Joran terpakai diletakkan dalam kotak atau di rak bagi memudahkan pelanggan meneliti kualitinya. Kekili juga tersusun mengikut jenama dan saiz. Banyak kekili premium, termasuk model-model lama seperti Daiwa dan Shimano yang tidak lagi dihasilkan masih dijual di sini.
Saya mengambil masa beberapa jam untuk mengkaji dan mencuba kekili yang ingin dibeli. Jurujual di kedai tersebut juga sangat mesra, sanggup memberikan demonstrasi dan berkongsi tip memilih set-up yang sesuai untuk spesies ikan tertentu.
Saya terkesan dengan profesionalisme mereka kerana walaupun ia kedai barangan terpakai, standard servis setanding dengan kedai pancing premium.
Pengalaman
Salah satu pengalaman paling menarik adalah mencari kekili yang sukar ditemui. Cara Tackle Berry menyusun kekili lama dalam kotak kaca khas supaya pelanggan dapat melihat kondisi tanpa menyentuh terlalu kasar.
Saya berjaya mendapatkan beberapa kekili lama Daiwa yang tidak lagi dikilangkan.
Selain itu, kami juga membeli joran pelbagai kepanjangan yang sesuai untuk pancing dasar dan beberapa kekili mendatar (spinning) vintaj tetapi masih lagi dalam keadaan sangat bagus.
Tackle Berry juga menawarkan beberapa barangan baharu, terutama aksesori seperti mata kail, candat sotong, swivel dan tali pancing berkualiti tinggi.
Saya rasa ini kombinasi terbaik bagi pemancing untuk mendapatkan joran dan kekili terpakai sambil membeli aksesori baharu yang relevan.
Interaksi
Selain membeli barangan pancing, saya berpeluang berinteraksi dan berbual bersama beberapa pemancing Jepun yang turut membeli-belah di kedai tersebut.
Walaupun perbualan kami agak terbatas disebabkan kekangan bahasa, namun pengalaman tersebut tetap memberikan banyak ilmu dan perspektif baharu mengenai dunia memancing di Jepun.
Antara perkongsian menarik daripada mereka termasuklah cara memilih set-up mengikut teknik pancingan sesuai, jenama peralatan memancing yang popular dalam kalangan pemancing tempatan dan tip penjagaan kekili serta joran supaya tahan lebih lama, walaupun kerap digunakan.
Menurut mereka, penjagaan peralatan memancing amat dititikberatkan di Jepun hingga membolehkan kebanyakan barangan pancing terpakai masih berada dalam keadaan ‘tip top’.
Kesimpulan
Trip ke Osaka kali ini bukan sekadar perjalanan membeli-belah barangan pancing, tetapi satu pengalaman berharga untuk menyelami budaya memancing masyarakat Jepun yang sangat unik dan teratur.
Di negara ini, kedai pancing bukan hanya tempat membeli peralatan, malah menjadi antara destinasi utama bagi komuniti pemancing setempat.
Pengalaman ini membuka mata kami bahawa membeli barangan pancing sebenarnya bukan sekadar soal memiliki peralatan baharu.
Ia juga merupakan proses pembelajaran untuk memahami fungsi produk, teknik penggunaan serta budaya pemancing Jepun yang begitu menitikberatkan kualiti serta penjagaan peralatan memancing.















