BACHOK – Mayat seorang anggota bomba yang lemas semasa menyelamatkan adiknya di Pantai Kandis di sini semalam dijumpai sebentar tadi selepas hampir 20 jam hilang dihanyut ombak.
Mangsa, Ahmad Badrul Naim Ab. Wahab, 32, yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru, Pulau Pinang ditemukan oleh orang awam pada pukul 12.15 tengah hari tadi kira-kira tiga kilometer dari lokasi mangsa lemas.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Ahmad Ridhuan Mohamad Ghazali berkata, operasi mencari seorang lagi mangsa, Ahmad Nurudin, 21, yang merupakan adik kepada Ahmad Badrul Naim masih dijalankan.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan, dalam kejadian pukul 5.15 petang semalam, Ahmad Badrul Naim dan adiknya, Ahmad Nurudin hilang selepas anak saudara mereka, Mohd. Ali Al Imran Mohd. Ezad, 12, berjaya diselamatkan oleh bapa kanak-kanak tersebut. – KOSMO! ONLINE














