fbpx
Mohd. Zamzuri ketika melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kereta pada Operasi Bersepadu Sempena Op Selamat 25 Tahun Baharu Cina 2026 di Jalan Raja Laut, awal pagi tadi.

Ekzos bising ‘bergema’ satu Kuala Lumpur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Bunyi bising ekzos kenderaan yang diubah suai dikenal pasti sebagai antara punca utama ketidakselesaan dan gangguan di ibu negara, selain berpotensi mengundang risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, struktur bangunan tinggi di sekitar Kuala Lumpur menyebabkan bunyi daripada ekzos yang diubah suai bergema dan menjadi lebih kuat.

“Ekzos diubah suai ini menyebabkan bunyi terlalu bising. Kita kena faham di Kuala Lumpur bangunan tinggi-tinggi. Jadi bila kenderaan dipandu laju, bunyi akan bergema dan menjadi satu masalah kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Operasi Bersepadu Sempena Op Selamat 25 Tahun Baharu Cina 2026 di sekitar pusat bandar di sini awal pagi tadi.

Menurutnya, operasi tersebut dilaksanakan dalam bermula pukul 10 malam hingga 4 pagi dengan memberi tumpuan kepada kenderaan dan motosikal yang disyaki terlibat aktiviti merempit serta kenderaan diubah suai.

“Kira-kira 70 buah motosikal disita atas pelbagai kesalahan termasuk ubah suai nombor pendaftaran, penggunaan ekzos bising serta kesalahan berkaitan dadah melibatkan tiga kes ganja dan satu kes methamphetamine.

“Selain itu, kira-kira 40 buah kereta yang diubah suai turut disita, kebanyakannya menggunakan ekzos yang tidak mengikut spesifikasi,” ujarnya.

Mohd. Zamzuri berkata, sehingga pukul 4 pagi tadi, kira-kira 720 saman dikeluarkan antaranya atas kesalahan mengubah suai ekzos dan tayar, tiada brek dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi yang dibenarkan.

Operasi tersebut disertai 15 pegawai dan 85 anggota JSPT Kuala Lumpur dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Agensi Antidadah Kebangsaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI