KUALA LUMPUR – Polis memaklumkan lelaki yang disyaki terlibat dalam kes penemuan mayat seorang gelandangan wanita di Jalan Sentul, Selasa lalu, dipercayai mempunyai masalah mental.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai meninggal dunia akibat kecederaan di kepala disebabkan hentakan objek tumpul.
“Suspek kini ditahan reman selama enam hari bermula Selasa lalu hingga Ahad ini.
“Setakat ini, sembilan saksi telah dipanggil untuk beri keterangan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Op Selamat 25 sempena Tahun Baharu Cina 2026 Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.
Terdahulu media melaporkan, seorang wanita dipercayai gelandangan ditemui maut dalam keadaan berlumuran darah di bahagian kepala di hadapan sebuah sekolah di Jalan Sentul, pada Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, pihaknya telah menerima maklumat kejadian tersebut pada pukul 7.20 pagi.
Susulan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki yang juga penganggur berusia 46 tahun bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE














