KOTA TINGGI – Kebimbangan terhadap penularan wabak tuberkulosis (tibi) di daerah ini mendorong penduduk mengambil langkah berjaga-jaga dengan sebahagiannya mengehadkan pergerakan selain lebih banyak menghabiskan masa di rumah.
Penduduk Felda Sungai Mas, Rahayu Musran, 45, berkata, biarpun penularan dilaporkan terkawal setakat ini, dia tetap mengambil pendekatan untuk tidak membenarkan anak-anak keluar tanpa keperluan bagi mengelakkan jangkitan.
“Kami satu keluarga banyak minum air masak selain menjaga kebersihan. Situasi macam ini kalau dah ramai yang kena, memanglah kita risau, takut juga berjangkit nanti.
“Bimbang kalau dah semua kena satu keluarga, kita dah tak boleh nak buat apa, nak pergi kerja pun susah kalau dah kena kuarantin. Tetapi setakat ini keadaan masih terkawal dan saya pun pergi bekerja seperti biasa,” katanya di sini semalam.
Penduduk lain, Mohd. Zaki Arifin, 50, berkata, dia juga mengarahkan keluarganya untuk tidak keluar rumah jika tiada urusan penting selain perlu memakai pelitup muka.
“Kalau nak keluar perlu elakkan ke kawasan ‘hotspot’ jangkitan. Anak-anak yang sekolah pula, saya sediakan pelitup muka dan nasihatkan mereka berhati-hati,” katanya.
Dalam pada itu, Salleh Kahar, 45, berkata, dia melarang anaknya untuk keluar bermain pada waktu petang kerana khuatir ada kontak kluster tibi dalam kalangan orang ramai yang berada di padang bola dan taman permainan.
“Ini kerana, virus ini kita tak nampak dan mudah tersebar melalui udara,” katanya.
Bagi Normah Muhamad, 51, dia kesal dengan dakwaan tular kononnya ratusan penduduk di situ terjejas akibat tibi dan menegaskan keadaan di kawasan itu masih terkawal bahkan aktiviti harian penduduk dan perniagaan berjalan seperti biasa.
“Semua yang viral itu tak betul, itu pun setakat dekat Felda Sungai Mas sahaja. Felda Papan Timur dan Bandar Mas tak ada pun. Setakat ini kami peniaga juga tidak terjejas dan masih berjalan seperti biasa tanpa sebarang sekatan,” katanya.
Kosmo! semalam melaporkan satu kluster tibi direkodkan di Kota Tinggi dengan 33 kes positif dikesan hasil saringan ke atas 804 kontak rapat bermula 25 Januari lalu hingga Rabu lalu.














