SEPANG – Aprilia dikatakan sudah memiliki perancangan barisan pelumbanya pada musim 2027 sekiranya kehilangan bekas juara dunia, Jorge Martin yang dikaitkan bakal meninggalkan pasukan itu untuk menyertai Yamaha.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Aprilia, Massimo Rivola mendedahkan pengeluar dari Itali itu sudah memiliki ‘pelan B dan pelan C’ dalam misi mencari rakan sepasukan buat Marco Bezzecchi menghadapi saingan MotoGP musim 2027.
Aprilia menjadi pasukan pertama yang memulakan langkah agresif mengumumkan kontrak baharu dua tahun bersama Bezzecchi, sejurus sebelum sesi ujian di Sepang bermula.
Rivola tidak menolak sepenuhnya kemungkinan mengekalkan Martin, namun mengakui pihaknya sudah bersiap sedia dengan pelbagai perancangan alternatif.
“Marco (Bezzecchi) adalah keutamaan kami dan ia satu perkembangan positif apabila kami berjaya menyelesaikan masalah kontrak.
“Marco layak menerimanya selepas mempamerkan komitmen tinggi kepada syarikat, pasukan dan prestasi jentera. Ia kombinasi yang sempurna.
“Sekarang kami mempunyai masa untuk meninjau pasaran pelumba. Aprilia tidak pernah tidur, jadi kami sudah ada pelan B, pelan C dan D,” katanya.
Beberapa nama besar terus dikaitkan dengan perpindahan ke Aprilia antaranya Fabio Quartararo, namun pelumba Perancis itu dilaporkan semakin hampir mengikat perjanjian bersama Honda.
Meskipun Quartararo menafikan perjanjian muktamad telah dicapai, namun pelumba Perancis itu mengakui sedang mengadakan rundingan dengan pasukan dari Jepun itu.
Terbaharu, nama Fransesco Bagnaia pula hangat diperkatakan sebagai calon kuat ke Aprilia selepas bergelut dengan pasukan Itali itu musim lalu.
Masa depan Bagnaia bersama Ducati tampak samar susulan laporan meluas yang mendakwa pasukan Ducati bakal membariskan gandingan Marc Marquez dan Pedro Acosta bagi saingan 2027. – AGENSI














